
HULU TERENGGANU – Seorang penunggang motosikal Honda C100 yang dalam perjalanan pulang dari sebuah program permotoran di Kuantan, Pahang maut selepas merempuh belakang trak pikap di Kilometer (KM) 399.2, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Ajil, di sini, hari ini.
Kemalangan pada pukul 12.53 tengah hari itu turut menyebabkan motosikal mangsa, Wan Amir Faiz Jamal Paisal, 20, hangus terbakar.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab berkata, ketika kejadian, Wan Amir Faiz dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Hutan Kuin, Machang, Kelantan selepas menyertai program permotoran di Kuantan.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal Honda C100 yang ditunggang mangsa dipercayai gagal mengelak lalu merempuh belakang trak pikap jenis Toyota Hilux.
“Trak pikap itu dikatakan berhenti di lorong kecemasan berikutan sebuah motosikal lain yang turut menyertai program permotoran sama mengalami kerosakan,” katanya di sini semalam.
Sharudin berkata, mayat pemuda itu yang rentung dihantar ke Unit Forensik, Hospital Hulu Terengganu di sini untuk tindakan lanjut.
Pemandu lelaki dan penumpang wanita berusia 37 dan 45 tahun yang dalam perjalanan pulang ke Gua Musang dari program permotoran sama pula terselamat tanpa sebarang kecederaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE
The post Pemuda pulang program permotoran rentung di LPT2 appeared first on Kosmo Online.






