
SERDANG: Atlet dari Johor, S. Geetha menutup penampilan terakhirnya di pentas Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dengan cemerlang apabila mempertahankan pingat emas acara 800 meter (m) wanita di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), semalam.
Pelari berusia 21 tahun itu membuktikan ketabahannya selepas kembali daripada tempoh sukar akibat kecederaan koyak otot betis kiri yang membelenggunya sebelum ini.
Geetha yang turun sebagai pilihan utama menepati ramalan apabila menamatkan perlumbaan di tempat pertama dengan catatan 2 minit 17.69 saat (s), diikuti pelari Sabah, Nur Syifa Raisha Adnan Firdaus di tempat kedua dengan 2:19.46s manakala Rosnani Mahamad meraih gangsa selepas mencatat 2:19.61s.
Lebih bermakna, kejayaan tersebut hadir selepas Geetha melalui fasa sukar apabila mengalami koyakan sepanjang enam sentimeter pada otot betis kiri, menyebabkan dia terpaksa menjalani fisioterapi serta rawatan platelet-rich plasma (PRP).
“Memang teruklah sehingga tak boleh berjalan, tapi masa lari tadi tak terkesan sangat. Saya dapat kecederaan ini ketika melakukan larian jarak jauh,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.
Mengulas mengenai kejayaan mempertahankan kejuaraannya, Geetha berkata, semua itu hadir hasil usaha kerasnya selama ini untuk kembali ke tahap terbaik selepas berdepan isu kecederaan.
“Pasukan meletakkan harapan kepada saya malah saya sendiri pun mensasarkan pingat emas bagi acara ini. Saya rasa sangat gembira kerana tahun lalu saya lalui fasa paling sukar dalam hidup saya, iaitu fasa kecederaan.
“Dari segi mental dan fizikal, saya sangat menderita. Saya rasa ini adalah ganjaran untuk latihan saya yang konsisten dan juga rahmat daripada Tuhan,” kata Geetha yang turut meraih perak dalam acara 1,500m wanita, Selasa lalu.
Dia kini mengintai peluang untuk mewakili Malaysia pada Sukan SEA 2027 di Kuala Lumpur selepas membuat penampilan sulung pada temasya berkenaan pada edisi 2023 dalam acara 1,500m dan menamatkan saingan di tempat keenam. – UTUSAN
The post Suka duka Geetha tutup tirai SUKMA appeared first on Utusan Malaysia.






