Rancangan penambahan 190 cawangan baharu dorong pertumbuhan MR DIY pada FY25, kata RHB Research

LocalBusiness & Finance
8 Aug 2025 • 11:27 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Rancangan penambahan 190 cawangan baharu dorong pertumbuhan MR DIY pada FY25, kata RHB Research

image is not available

08/08/2025 - 11:27

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Rancangan penambahan 190 cawangan baharu dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan MR DIY Group (M) Berhad bagi tahun kewangan 2025 (FY25), kata RHB Research.

Katanya, pembukaan cawangan baharu itu merangkumi cawangan di bawah format perniagaan lain menerusi kerjasama strategik dengan rakan kongsi dari China, KK Group.

Firma penyelidikan itu berkata, pelan pengembangan agresif itu menekankan strategi kumpulan meluaskan jangkauan pasaran, khususnya di kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan selain menarik lebih ramai pelanggan baharu.

Melalui kerjasama dengan KK Group, syarikat itu menyasarkan penembusan segmen demografik yang lebih luas dengan penawaran produk yang lebih pelbagai seperti barangan kecantikan, kesihatan, gaya hidup, dan fesyen.

"Kami melihat pembukaan cawangan baharu ini sebagai pemangkin utama kepada pertumbuhan kumpulan, membolehkannya terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peruncit nilai nombor satu di negara ini.

"Kepelbagaian tawaran produk di bawah kerjasama dengan KK Group dijangka membuka pasaran yang lebih besar dan mengukuhkan daya tarikan MR DIY di luar pangkalan pelanggan tradisionalnya," katanya dalam satu nota kajian.

RHB Research berkata, walaupun berdepan cabaran daripada pertumbuhan jualan kedai sama (SSSG) yang sederhana dan peningkatan kos operasi — termasuk kos gaji, sewaan dan utiliti yang lebih tinggi akibat pelbagai langkah reformasi negara — syarikat dilihat berada dalam kedudukan yang kukuh.

Katanya, aliran margin untung kasar semasa dijangka kekal mengimbangi tekanan kos yang meningkat.

Firma penyelidikan itu berkata, memandangkan kos sara hidup yang semakin tinggi, pengguna yang terkesan akibat inflasi dijangka terus memilih untuk berbanlanja secara berhemah dan mencari pilihan lebih murah bagi memaksimumkan perbelanjaan.

Keadaan itu katanya, memberikan kelebihan kepada MR DIY kerana mereka berada pada kedudukan kukuh untuk mengambil peluang melalui rangkaian kedai yang luas, penawaran produk yang bernilai untuk wang serta ekuiti jenama yang telah kukuh.

"Selain itu, penyertaan terbaharu dalam inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) boleh menjadi satu lagi saluran untuk menarik perbelanjaan berterusan daripada kumpulan berpendapatan rendah sekiranya program ini diperluas secara signifikan pada masa hadapan," katanya.

RHB Research mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM1.87 sesaham. - DagangNews.com

standard