amree18/09/2026 - 10:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Sept — Pemulihan penggunaan kapal seismik serta peningkatan aktiviti minyak dan gas (O&G) dijangka mengembalikan pertumbuhan pendapatan Uzma Berhad mulai suku kedua tahun kewangan 2027 (2QFY27).
Menurut Phillip Capital, perkembangan positif itu mengimbangi ketidaktentuan sektor O&G serta risiko kelewatan projek tertentu dan peningkatan kos pelaksanaan yang masih menjadi cabaran kepada prestasi kumpulan.
Ujarnya, prospek FY27 kekal disokong pemulihan industri O&G selepas penyelarasan portfolio dan operasi oleh PETRONAS, selain beberapa pemacu pertumbuhan dalam segmen tenaga baharu dan perdagangan gas asli cecair (LNG).
"Kami menjangkakan penggunaan kapal seismik Uzma meningkat kepada lebih 90% selepas kerja penyelenggaraan selesai, sekali gus menyokong pemulihan pendapatan O&G kumpulan bermula 2QFY27," jelas Phillip Capital.
Tambahnya, aktiviti huluan O&G juga dijangka naik secara berperingkat-peringkat susulan proses pengoptimuman portfolio dan penyelarasan semula operasi oleh PETRONAS pada 1QFY27.
Menurut firma penyelidikan tersebut, perkembangan pemulihan itu berpotensi menjadi pemangkin kepada trajektori pertumbuhan pendapatan keseluruhan kumpulan bagi FY27.
Selain itu, pertumbuhan tahun kewangan berkenaan dijangka mendapat sokongan sumbangan setahun penuh pemerolehan Johnson Pump pada Disember 2025 serta kontrak bekalan gas saluran paip TPA yang diraih pada 3QFY26.

"Segmen tenaga baharu turut menjadi pemacu pertumbuhan apabila Uzma menerima projek Net Energy Metering (NEM) baharu, dengan kapasiti penjanaan dijangka meningkat kepada 150MWp pada FY27 berbanding 100MWp pada FY26," katanya.
Pada masa sama jelasnya, projek SARA WIF2.0 dijangka mula menyumbang kepada pendapatan selepas tahap siap mencapai 85% pada Ogos 2026, dengan sumbangan awal dijangka bermula pada 3QFY27.
Phillip Capital turut melihat potensi pertumbuhan daripada aktiviti tender yang semakin rancak. dengan naik 81% suku ke suku kepada RM5.6 bilion setakat Jun 2026, dan kira-kira 67% daripadanya terdiri projek bukan O&G manakala 33% O&G.
Sebagai antara tiga pemain solar Bumiputera terbesar di Malaysia, Uzma juga berada pada kedudukan untuk menyertai solar berskala besar (LSS) fasa 6 Pakej 2, yang merangkumi kapasiti solar 300MW dan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) 150MW.
"Kumpulan itu turut memburu beberapa kontrak gas asli bernilai kira-kira RM100 juta setahun setiap satu, selain projek konsesi satelit selama lapan tahun bersama kerajaan Malaysia," katanya.
Dalam segmen O&G, kebimbangan terhadap keselamatan tenaga susulan ketegangan berterusan di Timur Tengah turut meningkatkan aktiviti tender bagi projek perkhidmatan telaga di Thailand, Vietnam dan Myanmar.
Phillip Capital berkata, kejayaan memperoleh kontrak tersebut boleh memberikan peningkatan kepada unjuran pendapatan FY27 kumpulan.
Justeru, ia mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap Uzma dengan harga sasaran (TP) 76 sen, namun memberi amaran risiko utama termasuk tempahan kerja pelanggan yang rendah, kelewatan projek yang tidak dijangka dan peningkatan kos pelaksanaan. - DagangNews.com





