SEREMBAN - Tindakan memberhentikan atau menamatkan keahlian seseorang ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan(MMK) Negeri Sembilan yang dibuat tanpa nasihat atau permintaan daripada Menteri Besar merupakan satu kekhilafan dari sudut perundangan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berkata, ia juga tidak berperlembagaan dan tidak mempunyai sebarang kuat kuasa undang-undang.
"Adalah ditegaskan bahawa Menteri Besar tidak pernah dirujuk atau pada bila-bila masa menasihati berkenaan pemberhentian mana-mana Exco Kerajaan Negeri Sembilan menurut Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS).
"Dengan itu tidak ada keperluan mengemukakan senarai Exco yang baharu kerana Exco yang sedia ada masih sah dan akan menjalankan tugas seperti biasa," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurut beliau, secara asasnya, sistem pentadbiran Negeri Sembilan ditegakkan di atas prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.
Katanya, berdasarkan bahagian kedua UUTKNS 1959, kuasa kedaulatan Raja dalam hal pentadbiran negeri hendaklah dijalankan atas nasihat Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
"Saya ingin memberikan penjelasan rasmi berhubung tafsiran perundangan dan sempadan kuasa eksekutif di bawah UUTKNS 1959, khususnya yang melibatkan kedudukan serta tempoh perjawatan Exco.
"Bagi mengelakkan sebarang kekhilafan tafsiran, implikasi perundangan berhubung perkara ini wajib diteliti secara harmoni dan menyeluruh,"katanya.
Jelas Ismail, menurut Perkara 40(1) UUTKNS 1959, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan hendaklah bertindak mengikut nasihat Majlis Mesyuarat MMK dan Menteri Besar dalam menjalankan fungsi pentadbiran (eksekutif) di bawah bahagian kedua Perlembagaan Negeri.
Tambahnya, mengikut kuasa budi bicara yang diberikan kepada Raja dalam hal pentadbiran hanya merangkumi perkara-perkara yang dinyatakan secara bertulis di bawah Perkara 40(2) UUTKNS 1959.
"Kuasa untuk memberhentikan atau menamatkan tempoh jawatan Exco secara bersendirian tidak termaktub dalam institusi budi bicara ini.
"Keterikatan Perkara 38(5) UUTKNS 1959 dengan nasihat Menteri Besar iaitu kuasa Raja untuk memperkenankan tempoh perjawatan seseorang Exco di bawah Perkara 38(5) tidak boleh dibaca secara berasingan dan wajib dibaca bersama Perkara 38(4) dan Perkara 40(1)," katanya.
Ini bermakna ujarnya, sebarang penamatan atau perubahan kedudukan barisan Exco semasa pentadbiran berjalan hanya boleh berkuat kuasa atas nasihat atau permintaan rasmi daripada Menteri Besar.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan Negeri Sembilan akan terus mempertahankan keluhuran perlembagaan demi memastikan kestabilan pentadbiran dan mandat rakyat sentiasa dipelihara berlandaskan lunas undang-undang yang sah.
Terdahulu, media melaporkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,Tuanku Muhriz Tuanku Munawir telah membatalkan pelantikan Exco berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali, keputusan itu dibuat selepas mendapati kesemua Exco terbabit telah memungkiri sumpah jawatan mereka.






