
GEORGE TOWN : Penang FC menyasarkan untuk berada dalam kelompok lima pasukan terbaik Liga Super musim ini selepas hanya mampu menamatkan aksi di tempat kelapan dalam saingan berkenaan musim lepas.
Ketua jurulatihnya, Wan Rohaimi Wan Ismail berkata, beliau optimis skuad Harimau Kumbang kali ini mampu mampamerkan prestasi yang membanggakan walaupun separuh daripada barisan pemain yang mereka miliki ketika ini terdiri daripada muka-muka baharu.
“Setakat ini semua dah cukup (dari segi persiapan), Alhamdulillah. Kita dah senaraikan 30 pemain termasuk lapan pemain import dan saya jangkakan satu persaingan positif di dalam pasukan selepas ini,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas majlis pelancaran jersi Penang FC bagi musim 2026/2027 yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Penang FC, Daniel Gooi Zi Sen di sini, hari ini.
Difahamkan, antara tonggak import yang dikekalkan pada musim ini termasuk kapten, Stefano Brundo dan seorang lagi tonggak pertahanan, Obilor Friday. Turut dikekalkan ialah pemain kelahiran Filipina, OJ Porteria.
Mengulas lanjut, Wan Rohaimi berkata, persiapan Penang FC sepanjang lapan minggu aksi pramusim berjalan dengan baik dan hampir semua pemain utama juga bebas daripada belenggu kecederaan menjelang sepak mula Liga Super, Ahad ini.
“Kami memang telah diberikan sasaran untuk berada dalam ‘Top 5’ dan aksi pertama liga pada 23 Ogos ini (menentang DPMM FC) akan dijadikan permulaan untuk mengejar sasaran tersebut.
“Insya-Allah, kita mampu melakukannya dan saya harap pemain ke-12 (penyokong) juga akan memberikan sokongan penuh kepada Penang FC nanti,” ujar beliau.
Sementara itu, Penang FC menjadi kelab bola sepak ketiga di Malaysia selepas Felda United dan Melaka FC yang menjalin kerjasama dengan syarikat pengeluar serta pengedar pakaian dan barangan sukan terkenal Thailand, Football Thai Factory Sporting Goods Co Ltd (FBT) untuk penajaan jersi.
Menurut Pengarah Pemasaran Antarabangsa FBT, Thamchai Chokephaibulkit, jersi baharu Penang FC dianggap istimewa kerana ia menampilkan elemen sejarah, seni bina serta warisan Pulau Pinang selain menampilkan motif batik dengan menggunakan fabrik jenis mickofiber berkualiti tinggi.-UTUSAN
The post Penang FC sasar kedudukan lima terbaik Liga Super appeared first on Utusan Malaysia.






