
SERDANG: Penantian Perak untuk merangkul pingat emas dalam acara olahraga pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 berakhir selepas Muhammad Adib Irfan Azizan mengungguli acara 400 meter (m) berpagar lelaki di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.
Adib menghadiahkan emas pertama buat kontinjen olahraga Perak pada temasya itu selepas menamatkan larian 52.00 saat (s) menewaskan Muhammad Danish Nabil Kamarudin dari Johor di tempat kedua dengan catatan 52.65s manakala gangsa menjadi milik wakil Terengganu, Shazril Ashraff Shamsurbahry (52.80s).
Bercakap kepada pemberita selepas menamatkan lariannya, Adib mengakui kejayaan itu di luar jangkaannya memandangkan dirinya bukan pilihan utama untuk memenangi acara tersebut.
“Saya tak jangka sebab saya bukan pilihan. Macam kita tahu Aiman Najmi (Mohd Anuar) dari Johor merupakan pilihan untuk edisi kali ini, tapi alhamdulillah, hari ini rezeki saya.
“Namun, saya tetap sasarkan pingat emas. Saya tak kira lawan, saya sasarkan emas,” katanya.
Menariknya, minat Adib terhadap sukan olahraga tercetus selepas mendapat dorongan daripada guru sekolah menengahnya yang mula menghidu bakatnya malah melatih dan memberi sokongan kepadanya sehingga kini.
Kata Adib, sebelum menceburi olahraga, dia terlebih dahulu aktif dalam sukan bola sepak, namun mengambil keputusan beralih kepada acara individu selepas mendengar nasihat ibunya.
“Sebenarnya saya ikut cakap mak saya. Bola ini berkumpulan. Kalau menang atau kalah, kita boleh kecewa walaupun kita sudah bermain dengan baik, tetapi kalau pasukan tidak beraksi dengan baik, kita tetap kalah.
“Jadi, olahraga ini acara individu dan saya pilih untuk pergi dalam olahraga,” katanya.
Sementara itu, bagi kategori wanita pula menyaksikan pelari dari Kelantan, Fatin Mashira Mohd Fadzil mengungguli saingan tersebut selepas melakukan catatan masa 1:02.08s sekali gus mengutip emas kedua peribadinya pada temasya ini.

Fatin meraih emas pertamanya pada temasya ini dalam acara 100m berpagar wanita.
Perak dimenangi Nur Farisha Ardeana Ardy Abdullah selepas menamatkan larian 1:02.440s dan Siti Rokiah Hashim melengkapkan podium dengan catatan 1:04.89s. – UTUSAN
habis
The post Penantian Perak berakhir, Adib Irfan raih emas 400m berpagar appeared first on Utusan Malaysia.






