
SERDANG – Penantian empat hari Perak untuk meraih pingat emas dalam acara olahraga pada Sukma Selangor 2026 akhirnya berakhir apabila Muhammad Adib Irfan Azizan muncul juara acara 400 meter (m) lari berpagar lelaki, hari ini.
Lebih manis, Adib, 20, yang turun sebagai ‘underdog’ di Stadium Universiti Putra Malaysia itu mencipta kejutan apabila menamatkan perlumbaan dengan catatan 52.00 saat (s), sekali gus memperbaharui rekod peribadi terbaik (PB) 52.16s yang dilakukan pada tahun ini.
Pingat perak menjadi milik pelari Johor, Muhammad Danish Nabil Kamarudin dengan catatan 52.65s, manakala atlet Terengganu, Shazril Ashraff Shamsurbahry meraih gangsa menerusi catatan 52.80s.
“Saya memang sasarkan emas walaupun tahu saya adalah ‘underdog’ pada aksi final ini. Saya tidak kira siapa lawan saya, sasaran saya tetap mahu menghadiahkan emas buat Perak.
“Apapun, saya sangat gembira kerana dapat menghadiahkan emas pertama untuk Perak selepas empat hari kami menunggu. Akhirnya kami berjaya,” katanya selepas tamat perlumbaan.
Adib mengakui kejayaan itu cukup bermakna kerana ia menjadi pencapaian terakhirnya di pentas Sukma, selain membuktikan keputusannya meninggalkan sukan bola sepak untuk memberi tumpuan kepada olahraga adalah tepat.
“Sebenarnya dulu saya main bola, tetapi saya ikut cakap mak kerana bola adalah sukan berpasukan. Dalam olahraga, saya boleh menentukan prestasi sendiri dan sebab itu saya memilih olahraga.
“Terima kasih juga kepada guru-guru yang melatih dan menyokong saya sehingga berjaya mencapai keputusan terbaik ini. Terima kasih Cikgu A. Gunalan dan Izzat Narozi kerana banyak membantu saya sehingga berada di tahap ini,” katanya.

Adib yang kini menuntut dalam jurusan Sains Sukan dan Kejurulatihan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata, dia mahu menjadikan kejayaan di Sukma sebagai batu loncatan untuk memburu peluang mewakili Malaysia pada satu hari nanti.
Sementara itu, dalam acara 400m lari berpagar wanita, atlet Kelantan, Fatin Mashira Mohd Fadzil muncul juara dengan catatan 1 minit 02.08 saat sekali gus menambah emas keduanya pada Sukma kali ini selepas muncul juara dalam acara 100m berpagar.
Pingat perak dimenangi Nur Farisha Ardeana Ardy Abdullah dari Terengganu (1:02.44s), manakala gangsa menjadi milik pelari Kedah, Siti Rokiah Hashim (1:04.890s). -KOSMO! ONLINE
The post Sukma 2026: Empat hari menanti, Adib hadiah emas sulung Perak appeared first on Kosmo Digital.






