BMX Selangor ada masa depan, bakat muda mula tuai emas

24 Aug 2026 • 10:20 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

BMX Selangor ada masa depan, bakat muda mula tuai emas

SHAH ALAM, 24 OGOS: Arena sukan berbasikal BMX negara kini berada di era baharu apabila sukan ekstrem ini menunjukkan potensi besar sebagai penyumbang pingat di masa hadapan.

Mengambil kira umur atlet yang mengambil bahagian dalam acara BMX Flatland dan Park yang rata-ratanya masih di bawah umur 18 tahun memberi petanda bahawa gelombang atlet muda dalam sukan berkenaan perlu diberi perhatian serius.

Jika melihat kepada kejayaan pasangan adik-beradik Nur Airen Sofea dan Nia Nur Aidryana Mohd Nor Aszeril yang masih muda tetapi mempamerkan kematangan dalam sukan itu, tidak mustahil lebih banyak atlet muda yang mampu dilahirkan dan digilap setanding mereka.

Dua pingat emas dan dua perak yang dikutip mereka membuktikan umur tidak menjadi penghalang jika komited dan berani berkorban untuk mencapai kejayaan.

Dalam kategori lelaki pula, Muhammad Khaidir Idzham Abdul Haqq yang meraih pingat emas dilihat sudah bersedia untuk ke pentas seterusnya.

Justeru, lebih ramai pelapis perlu diketengahkan untuk mengisi kekosongan yang akan ditinggalkan mereka dalam dua atau tiga tahun ke depan.

Namun, projek bintang dalam pembikinan tidak akan menjadi kenyataan jika sukan ini dipinggirkan pada edisi-edisi yang mendatang.

Keazaman dan bakat sahaja tidak mencukupi sekiranya ia tidak diiringi dengan komitmen padu serta tindakan drastik daripada semua pihak.

Justeru, Kerajaan Negeri perlu memandang serius soal pembangunan akar umbi, sebagai contoh penyediaan fasiliti yang kondusif serta trek latihan yang bersesuaian dan selamat untuk atlet muda amat penting.

Selain itu, pembentukan mental dan fizikal, disiplin pemakanan, dan pendedahan kepada kejohanan luar negara perlu disusun secara berstruktur bagi memastikan daya saing atlet sentiasa berada di tahap tertinggi.

Sekiranya pelaburan yang tepat dan sokongan padu yang berterusan diberikan, sukan BMX bakal bertukar daripada sukan alternatif kepada kilang penghasilan pingat baharu buat kontinjen negara.

Kini, sukan BMX bukan lagi sekadar hobi atau sukan jalanan, tetapi boleh dikatakan sukan berprestasi tinggi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved