
KANGAR – Seorang penceramah motivasi yang sebelum ini direman berhubung dakwaan gangguan seksual ditahan semula polis sebelum diperintah menjalani reman dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan satu laporan baharu.
Perintah reman sehingga esok itu dibenarkan Majistret Ana Rozana Mohd Nor di Kompleks Mahkamah Kangar, di sini hari ini.
Menurut maklumat polis, lelaki berusia 34 tahun itu ditahan semula susulan satu laporan yang dibuat seorang wanita berusia 19 tahun pada kelmarin.
Suspek sebelum itu berada dalam tahanan reman berhubung satu kes yang disiasat polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar sehingga semalam sebelum diberikan jaminan polis.
Bagaimanapun, suspek ditahan semula Pasukan Risikan dan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Kangar bagi membantu siasatan kes terbaharu itu.
Suspek yang memakai baju-T hitam tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kangar kira-kira pukul 8.26 pagi tadi sebelum dilihat meninggalkan bangunan berkenaan dengan menaiki van polis pada pukul 10.11 pagi.
Kes terbaharu itu disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955. – KOSMO! ONLINE
The post Penceramah motivasi ditahan semula, direman dua hari appeared first on Kosmo Online.





