KOTA BHARU – Polis Kelantan menumpaskan aktiviti mencuri tabung masjid di sekitar Pasir Mas selepas menahan seorang lelaki pada Isnin.
Suspek berusia 36 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di hadapan sebuah kedai makan di Kampung Dangar pada jam kira-kira 7.30 malam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, hasil serbuan itu polis turut merampas sebuah motosikal Yamaha Avantiz, topi keledar, anak kunci motosikal, pakaian, wang tunai RM40 dan spanar besi.
"Polis turut merampas tiga tabung duit yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes kecurian berkenaan.
"Semakan rekod mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah dadah dan dua rekod jenayah, manakala ujian saringan awal air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, tangkapan suspek membolehkan polis menyelesaikan tiga kes curi tabung masjid yang berlaku di Pasir Mas dengan anggaran kerugian keseluruhan RM3,000.
Ujarnya, suspek direman selama empat hari bermula Selasa hingga Jumaat bagi membantu siasatan.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda atau sebat bagi kesalahan kedua dan seterusnya.
"Siasatan lanjut masih dijalankan bagi melengkapkan siasatan," katanya.






