
SEREMBAN: Seorang pendakwah bebas yang juga pempengaruh media sosial didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 34 pertuduhan pecah amanah wang milik sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berjumlah lebih RM13 juta.
Tertuduh, Abdullah Abdol Razak, 40, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Lah juga didakwa atas 17 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah RM1.56 juta.
Beliau bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Datin M. Kunasundary selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan.
Bagi pertuduhan pecah amanah, Abdullah didakwa secara tidak jujur melepaskan harta berkenaan dengan melanggar Fasal 10 Perlembagaan Pertubuhan Rezeki Infaq Malaysia (PRIM) yang menetapkan cara amanah tersebut perlu disempurnakan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan dengan meluluskan pembayaran wang berkenaan ke beberapa akaun bank, termasuk akaun miliknya sendiri tanpa kebenaran Mesyuarat Agung PRIM.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 28 Februari 2023 hingga 31 Mac 2026 di sebuah bank di daerah ini.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan dibawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Akta 574), yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun, sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Abdullah turut berdepan 17 pertuduhan memindahkan hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1.56 juta daripada beberapa akaun bank termasuk miliknya, ke beberapa akaun bagi tujuan pembayaran pembelian emas.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 18 Mei 2024 hingga 24 Februari 2026 di lokasi sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Dalam prosiding sama, Setiausaha PRIM, Noor Sahira Abdullah, 30, turut didakwa bersubahat dengan Abdullah melakukan pecah amanah jenayah terhadap harta PRIM.
Mahkamah menetapkan 28 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.-UTUSAN
The post Pendakwah bebas didakwa pecah amanah, pengubahan wang haram appeared first on Utusan Malaysia.






