Pendapatan berulang ITMAX diramal terus berkembang disokong inisiatif bersama DBKL, Kerajaan Negeri Johor - HLIB

LocalBusiness & Finance
10 Sep 2025 • 11:42 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pendapatan berulang ITMAX diramal terus berkembang disokong inisiatif bersama DBKL, Kerajaan Negeri Johor - HLIB

image is not available

10/09/2025 - 11:42

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Sept - Pendapatan berulang ITMAX System Berhad diramal terus berkembang disokong inisiatif utama bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kerajaan Negeri Johor, Selangor Intelligent Parking (SIP) dan platform digital berkembar baharu yang akan dilancarkan.

Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, kumpulan itu mencatatkan keuntungan suku tahunan terbaiknya pada suku kedua tahun kewangan 2025 (2QFY25) dengan pendapatan berulang kini menyumbang 71% daripada hasil pada separuh pertama tahun ini, berbanding 50% dalam tempoh sama tahun lalu.

Katanya, 98% daripada pendapatan berulang itu disumbangkan segmen kamera litar tertutup (CCTV), parkir pintar, dan pemetaan utiliti bawah tanah kumpulan tersebut.

HLIB berkata, mandat DBKL untuk meningkatkan rangkaian CCTV kepada 20,000 unit menjelang 2028 memberi potensi pertumbuhan yang kukuh daripada asas semasa sebanyak 10,000 unit.

“Walaupun tiada garis masa tetap diberikan, pihak pengurusan menjangkakan tambahan 10,000 unit itu akan dipasang secara berperingkat sepanjang 2026 hingga 2027, sejajar dengan tempoh pemasangan setahun yang diperlukan untuk mencapai sasaran 2028.

“Lebih penting lagi, infrastruktur gentian optik yang telah dibangunkan ITMAX serta ketepatan kecerdasan buatan (AI) setinggi 95% mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju awal dalam mendapatkan kontrak CCTV DBKL,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, HLIB berkata, kajian di Johor Bahru menunjukkan permintaan kira-kira 34,000 unit CCTV berbanding sekitar 500 unit yang telah dipasang setakat ini.

Selain itu, firma penyelidikan itu berkata, pelancaran platform digital berkembar tahun depan menandakan langkah strategik ke arah pengewangan data, sekali gus memperluas aliran pendapatan berulang ITMAX.

“Dengan mengguna pakai model platform-sebagai-perkhidmatan (PaaS), ia akan menjana yuran langganan bulanan seperti perniagaan CCTV. Di luar visualisasi bandar 3D, sistem ini mengintegrasikan pelbagai fungsi majlis, membolehkan simulasi masa nyata.

“Platform berkembar digital bukan sahaja melengkapi infrastruktur bandar pintar ITMAX tertapi juga menandakan langkah sulung dalam menjana pendapatan daripada data. Margin dijangka mengekalkan tahap tinggi seperti dalam perniagaan CCTV,” katanya.

HLIB mengekalkan penarafan “beli” dengan harga sasaran RM5.71 sesaham.

Andaian pertumbuhan itu mencerminkan ruang pertumbuhan yang luas bagi pemasangan CCTV di seluruh Malaysia, disokong oleh inisiatif pendigitalan nasional dan bandar pintar.

“Kami juga menjangkakan ITMAX mengewangkan infrastrukturnya dengan lebih lanjut melalui aplikasi bandar pintar seperti paltform digital berkembar, penilaian impak trafik dan analitik, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai pemacu utama transformasi digital bandar,” katanya. - DagangNews.com

standard