Cadangan penyenaraian EI Power diramal mengurangkan pendapatan OCK, kata Kenanga

LocalBusiness & Finance
10 Sep 2025 • 9:28 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Cadangan penyenaraian EI Power diramal mengurangkan pendapatan OCK, kata Kenanga

image is not available

10/09/2025 - 09:28

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Sept - Cadangan penyenaraian EI Power Berhad di Bursa Malaysia diramal mengurangkan pendapatan OCK Group Berhad, kata Kenanga Research.

Firma penyelidikan itu berkata, pegangan efektif OCK dalam EI Power akan berkurangan kepada 37.2% selepas tawaran awam permulaan (IPO) daripada 52% dalam EI Power Technologies Sdn Bhd.

“Ini menimbulkan kemungkinan sumbangan keuntungan masa depan EI Power kepada OCK mungkin lebih rendah berbanding tahap sebelum penyenaraian.

"Keadaan bagaimanapun akan berubah sekiranya pertumbuhan pendapatan EI Power mengatasi kesan pencairan daripada asas saham yang diperbesar,” katanya dalam satu nota kajian.

Terdahulu, OCK berhasrat untuk menyenaraikan EI Power Technologies, melalui kenderaan penyenaraian baharu, EI Power, di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

EI Power akan memperoleh keseluruhan ekuiti dalam EI Power Technologies daripada OCK dan vendor lain, iaitu Albert Chang Wan Siong dan Siew Wei Foo bernilai RM9.47 juta.

Pembayaran itu akan diselesaikan melalui terbitan 570.5 juta saham baharu EI Power pada harga terbitan 1.66 sen sesaham.

Albert, pengasas bersama EI Power Technologies, memegang 32% kepentingan dalam syarikat itu, manakala Wei Foo memiliki 16% pegangan.

Di bawah cadangan penyenaraian tersebut, EI Power merancang untuk melancarkan IPO yang merangkumi terbitan awam sebanyak 129.5 juta saham baharu dan tawaran jualan sebanyak 70 juta saham sedia ada, mewakili gabungan 28.5% daripada modal saham diperbesarkan.

Modal saham diperbesar EI Power dijangka meningkat kepada 700 juta saham selepas selesai IPO.

Kenanga Research berkata ia optimis terhadap cadangan penyenaraian itu, sementara menunggu penjelasan lanjut mengenai butiran utama, khususnya harga IPO EI Power.

“Pandangan positif kami disokong potensi manfaat kepada OCK selepas penyenaraian, termasuk pendedahan nilai EI Power Technologies kerana penanda aras penilaian telus untuk EI Power boleh meningkatkan profil OCK sebagai sebuah konglomerat pelbagai.

"EI Power juga mempunyai pilihan untuk mendapatkan pembiayaan ekuiti bagi mempercepatkan pertumbuhan dan kawalan berterusan oleh OCK membolehkan kumpulan itu meraih sinergi operasi,” kata firma penyelidikan itu.

Berdasarkan anggaran konservatif, Kenanga Research berkata nilai tersirat pegangan pasca IPO OCK dalam EI Power boleh meningkat sehingga RM58 juta atau kira-kira 2.2 kali penilaian semasa RM26.8 juta bagi EI Power Technologies.

Firma peyelidikan itu memberikan saranan "market perform" kepada OCK dengan harga sasaran (TP) 39 sen sesaham.- DagangNews.com

standard