
KUALA LUMPUR – Catcha Digital Berhad merekodkan pendapatan RM47.69 juta bagi separuh pertama tahun kewangan 2026, melonjak 114% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) diselaraskan turut meningkat 80% kepada RM8.69 juta, manakala keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) diselaraskan bertambah 14% kepada RM3.64 juta.
Bagaimanapun, Catcha Digital mencatatkan kerugian berkanun RM1.69 juta, sebahagian besarnya disebabkan caj bukan tunai serta kos berkaitan pengambilalihan.

Ketua Pegawai Eksekutif Catcha Digital, Eric Tan berkata, pertumbuhan pendapatan dan EBITDA diselaraskan menunjukkan operasi teras syarikat terus berkembang seperti dirancang.
“Pendapatan separuh pertama kami meningkat lebih sekali ganda tahun ke tahun, manakala EBITDA diselaraskan berkembang 80%.
“Kerugian berkanun mencerminkan kos perakaunan daripada pengambilalihan lapan perniagaan dalam tempoh 15 bulan, bukannya kos untuk mengendalikan perniagaan tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Segmen media digital menjadi penyumbang utama apabila menjana pendapatan RM46.41 juta bagi separuh pertama 2026, berbanding RM21.61 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Segmen berkenaan turut merekodkan EBITDA diselaraskan RM11.72 juta, meningkat 100% berbanding RM5.85 juta pada separuh pertama 2025.
Bagi suku kedua sahaja, media digital menyumbang pendapatan RM20.77 juta dan EBITDA diselaraskan RM4.69 juta. Portfolio Catcha Digital merangkumi beberapa jenama media termasuk OhMedia, Beautifulnara, Weirdkaya, Goody25, The Reporter, Careta, Mekanika dan Technave.
Segmen pameran perniagaan ke perniagaan (B2B) pula tidak menganjurkan sebarang acara pada suku kedua, menyebabkan ia menanggung kos operasi tetap tanpa pendapatan bersesuaian dan merekodkan kerugian diselaraskan RM450,000.
Sumbangan pendapatan dan keuntungan daripada segmen itu dijangka tertumpu pada separuh kedua tahun ini apabila beberapa pameran utama berlangsung pada suku ketiga. Antaranya Agri Malaysia, MBAM OneBuild dan Pameran Perdagangan Makanan dan Minuman Antarabangsa Malaysia (MIFB).
Setakat 30 Jun 2026, Catcha Digital mempunyai wang tunai dan setara tunai berjumlah RM30.40 juta, berbanding pinjaman bank kira-kira RM12.29 juta.
Syarikat itu turut mempunyai kemudahan kredit pusingan RM35 juta daripada Affin Hwang Investment Bank Berhad serta potensi memperoleh sehingga RM73 juta sekiranya semua waran daripada terbitan hak pada 2025 dilaksanakan.

Pengerusi Catcha Digital, Patrick Grove berkata, lapan pengambilalihan yang diselesaikan sejak Januari 2025 dijangka memberi sumbangan bagi satu tahun kewangan penuh pada 2026.
Menurutnya, prestasi pendapatan dijangka bertambah baik sepanjang baki tahun ini, disokong penganjuran acara B2B yang tertumpu pada separuh kedua.
Catcha Digital kini mengendalikan portfolio perniagaan dalam tiga sektor utama, iaitu media digital, pameran B2B dan penyelesaian teknologi maklumat.
The post Pendapatan Catcha Digital melonjak 114% kepada RM47.69 juta appeared first on The Reporter.






