Pendapatan Critical Holdings dijangka meningkat 2.8 kali ganda kepada RM59 juta pada FY27 - MBSB Research

Business & Finance
27 Aug 2026 • 12:08 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pendapatan Critical Holdings dijangka meningkat 2.8 kali ganda kepada RM59 juta pada FY27 - MBSB Research Image from: Pendapatan Critical Holdings dijangka meningkat 2.8 kali ganda kepada RM59 juta pada FY27 - MBSB Research hamden27/08/2026 - 12:08 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Critical Holdings Berhad dijangka memasuki fasa pertumbuhan baharu pada FY27 apabila keuntungan bersih teras kumpulan diunjurkan melonjak 2.8 kali ganda kepada RM59 juta, berbanding RM21.4 juta pada FY26.

 

MBSB Research menjangkakan hasil kumpulan turut meningkat hampir tiga kali ganda kepada RM758.5 juta bagi FY27F, didorong peningkatan sumbangan daripada dua projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPC) berskala besar yang diperoleh pada Mei dan Jun 2026.

 

Projek berkenaan merangkumi kontrak EPC cleanroom bernilai RM152.6 juta serta kontrak EPC industri bernilai RM772.5 juta, yang dijangka mula memberikan sumbangan lebih ketara kepada pendapatan kumpulan pada FY27.

 

"Peningkatan tersebut dijangka menjadi titik perubahan kepada prestasi Critical, dengan projek berskala besar yang telah diperoleh menyediakan keterlihatan pendapatan sehingga FY28," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

MBSB Research mengekalkan saranan BELI terhadap Critical dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM2.94, berdasarkan EPS FY28F sebanyak 17.6 sen pada PER 16.7 kali, iaitu sekitar +2 sisihan piawai daripada purata tiga tahun.

 

Buku tempahan cecah RM1.06 bilion

Setakat Jun 2026, baki buku tempahan Critical berada pada paras tertinggi sepanjang masa sebanyak RM1.06 bilion, sebelum berada pada sekitar RM1.02 bilion berdasarkan angka terkini.

 

Buku pesanan itu terdiri daripada projek plantroom sebanyak 77.7%, diikuti cleanroom 16.8%, pusat data 4.8% dan penyelenggaraan 0.7%.

 

Antara penyumbang terbesar ialah kontrak EPC bernilai RM772.5 juta yang diperoleh pada 15 Jun 2026 bagi pembangunan kemudahan industri berteknologi tinggi di Kulim Hi-Tech Park.

 

Projek tersebut merangkumi gudang Sistem Penyimpanan dan Pengambilan Automatik (ASRS) serta infrastruktur sokongan dan merupakan kontrak terbesar yang pernah diperoleh Critical setakat ini.

 

Ia juga merupakan kontrak EPC kedua kumpulan selepas memperoleh kontrak bernilai RM152.6 juta pada Mei 2026 bagi pembinaan cleanroom baharu berkaitan perkhidmatan mekanikal, elektrik dan paip (MEP) di Kulim Hi-Tech Park.

 

Kedua-dua projek EPC tersebut dianugerahkan oleh pelanggan syarikat multinasional (MNC) yang sama dari Amerika Syarikat, sekali gus mengukuhkan hubungan Critical dengan pelanggan antarabangsa dalam sektor teknologi tinggi.

 

90% tender aktif berkaitan semikonduktor

Critical juga terus aktif membida projek baharu dengan buku tender kini berjumlah kira-kira RM1 bilion.

 

Daripada jumlah itu, sekitar 90% merupakan projek berkaitan semikonduktor, manakala baki 10% terdiri daripada projek pusat data.

 

Kumpulan memperoleh sejumlah RM1.17 bilion kontrak baharu pada FY26, namun penganalisis tidak menjangkakan kadar kemenangan kontrak sedemikian dapat diulangi dalam tempoh terdekat.

 

Ini mengambil kira saiz luar biasa kontrak EPC RM772.5 juta yang diperoleh serta tumpuan pengurusan untuk melaksanakan dua projek EPC berskala besar tersebut.

 

Dengan tenaga kerja kini menjadi kekangan kapasiti utama, pihak pengurusan dijangka lebih selektif dalam mendapatkan kerja baharu.

 

Bagaimanapun, Critical dijangka terus mengisi semula buku tempahannya menerusi projek bernilai sekitar RM30 juta hingga RM50 juta, yang dilihat sebagai saiz projek paling sesuai untuk kumpulan, selain mengejar peluang EPCC berskala lebih besar.

 

Kedudukan tunai bersih beri ruang berkembang

Dari sudut kewangan, Critical kini mempunyai kedudukan tunai bersih sebanyak RM71 juta, yang memberikan fleksibiliti kewangan ketika projek berskala besar mula meningkat dari segi aktiviti.

 

MBSB Research berkata, pelaksanaan projek berkenaan lazimnya memerlukan modal kerja lebih tinggi, khususnya bagi penghutang, aset kontrak dan perolehan.

 

Namun, kedudukan kunci kira-kira yang tidak mempunyai hutang bersih memberikan Critical kapasiti untuk mendapatkan pembiayaan tambahan tanpa memberi tekanan berlebihan kepada kedudukan kewangannya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved