Jurang pendapatan rakyat semakin mengecil, bukan melebar - Kementerian Ekonomi

LocalBusiness & Finance
25 Nov 2026 • 9:43 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Jurang pendapatan rakyat semakin mengecil, bukan melebar - Kementerian Ekonomi Image from: Jurang pendapatan rakyat semakin mengecil, bukan melebar - Kementerian Ekonomi sarah25/11/2026 - 09:43 Gambar hiasan Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 25 Nov - Kementerian Ekonomi menegaskan jurang pendapatan rakyat Malaysia semakin mengecil, bukannya melebar, berdasarkan data terkini yang menunjukkan agihan pendapatan lebih seimbang serta penurunan kadar kemiskinan negara.

 

Bagaimanapun, kementerian mengakui jurang pendapatan dan peluang ekonomi antara kumpulan masyarakat berkait rapat dengan perpaduan nasional, manakala ketidakseimbangan sosioekonomi yang tidak ditangani secara berhemah boleh menggugat keharmonian serta kestabilan negara.

 

“Pekali Gini telah menurun daripada 0.404 pada tahun 2022 kepada 0.390 pada tahun 2024, menunjukkan agihan pendapatan semakin seimbang. Pendapatan penengah bulanan isi rumah pula telah meningkat daripada RM6,338 kepada RM7,017, iaitu peningkatan 10.7 peratus,” menurut kementerian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

 

Kementerian menjawab soalan Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) mengenai sejauh mana kerajaan menganggap jurang pendapatan dan peluang ekonomi sebagai isu perpaduan serta sasaran khusus untuk mengecilkan jurang tersebut menjelang 2030.

 

Menurut kementerian, kadar kemiskinan mutlak nasional turut menurun daripada 6.2% pada 2022 kepada 5.1% pada 2024, manakala kemiskinan tegar berkurangan daripada 0.2% kepada 0.09%, dengan jurang kemiskinan antara bandar dan luar bandar mengecil daripada 7.5 kepada 6.2 mata peratusan.

 

Kerajaan teliti pengelasan pendapatan rakyat

Kementerian berkata, pelbagai inisiatif dirangka bagi meningkatkan taraf hidup rakyat, termasuk kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 mulai Jun 2027 serta pengukuhan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berteraskan pembelajaran berasaskan pekerjaan.

 

Kerajaan juga sedang meneliti penggunaan Pendapatan Boleh Guna Bersih (NDI) bagi melengkapkan pengelasan berasaskan pendapatan kasar dengan mengambil kira potongan berkanun serta kos Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) mengikut kawasan bagi memastikan bantuan diberikan secara lebih bersasar.

 

Selain itu, menerusi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), kerajaan komited memperuntukkan sekurang-kurangnya 50% daripada peruntukan pembangunan asas kepada enam negeri kurang membangun bagi merapatkan jurang pembangunan wilayah.

 

Empat sasaran khusus menjelang 2030

Menerusi RMK13, kerajaan menyasarkan bahagian pampasan pekerja kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat kepada 40% berbanding 33.1% pada 2023, kadar kemiskinan mutlak berkurangan kepada 4.7%, Pekali Gini mengecil kepada 0.386 serta pertumbuhan tahunan purata Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (MyWI) sebanyak 1.6% bagi tempoh 2026 hingga 2030.

 

Pencapaian sasaran tersebut, bersama PAKW dan Indeks Kos Sara Hidup (IKSH), akan dipantau secara berkala, termasuk menerusi Kajian Separuh Penggal RMK13, selaras dengan komitmen kerajaan untuk mengecilkan jurang pendapatan dan peluang ekonomi serta memastikan setiap lapisan masyarakat menikmati manfaat pembangunan secara adil dan saksama.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved