sarah27/11/2026 - 17:11 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 27 Nov - Mudajaya Group Bhd (Mudajaya) dijangka menyelesaikan pelupusan 45% kepentingan ekuiti dalam Real Jade Limited bernilai RM118.45 juta pada Disember 2026, selepas semua syarat terdahulu dalam perjanjian jual beli saham dipenuhi.
Pelupusan itu dilaksanakan menerusi anak syarikat milik penuh tidak langsungnya, Xelmont Limited, kepada pemegang saham utama Mudajaya, Minyi Holdings Limited, sebagai sebahagian daripada langkah penyelesaian hutang.
Urus niaga tersebut melibatkan penyelesaian hutang Xelmont kepada Minyi Holdings berjumlah HK$244.97 juta (RM124 juta) setakat 30 April 2026 melalui penolakan nilai pelupusan, manakala baki hutang berserta faedah akan diselesaikan secara tunai.
Mudajaya dalam laporan kewangan kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, cadangan pelupusan tersebut telah mendapat kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 5 November 2026.
Selepas urus niaga itu selesai, Mudajaya akan mengekalkan kepentingan tidak langsung sebanyak 55% dalam Real Jade, yang menjalankan perniagaan pembuatan, penjualan dan perdagangan simen di China.
Operasi di China berdepan tekanan pasaran
Perniagaan Real Jade di China kekal sebagai penyumbang utama pendapatan Mudajaya, dengan mencatatkan pendapatan sebanyak RM130.9 juta bagi sembilan bulan pertama 2026, mewakili 75% daripada keseluruhan pendapatan kumpulan.
Bagaimanapun, keadaan operasi di China kekal mencabar berikutan ketidaktentuan ekonomi, pemulihan perlahan sektor hartanah dan pembinaan, permintaan simen yang lemah serta persaingan harga yang sengit.
Mudajaya akan meneruskan penilaian strategik terhadap pelaburan dan kedudukan operasinya di China, dengan mengambil kira perubahan keadaan pasaran, perkembangan industri dan kemampanan perniagaan jangka panjang.
Dalam usaha meningkatkan daya saing, kumpulan telah menyelesaikan kerja menaik taraf kemudahan pengeluaran klinker, iaitu bahan utama pembuatan simen, yang meningkatkan kapasiti pengeluaran daripada 2,500 tan kepada 4,000 tan sehari.
Keuntungan bersih suku ketiga melonjak kepada RM27.24 juta
Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026, Mudajaya mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM27.24 juta berbanding RM4.8 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya, didorong sumbangan keuntungan lebih tinggi daripada pelaburannya dalam RKM di bawah segmen tenaga.
Pendapatan kumpulan meningkat 52% kepada RM70.64 juta daripada RM46.42 juta, disokong peningkatan pengeluaran dan jualan simen selepas kilang yang dinaik taraf di China kembali beroperasi secara berperingkat.
Bagi sembilan bulan pertama 2026, keuntungan bersih Mudajaya meningkat kepada RM71 juta berbanding RM7.71 juta setahun sebelumnya, manakala pendapatan meningkat 11% kepada RM175.34 juta. - DagangNews.com





