sarah27/11/2026 - 17:29 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 27 Nov - C.I. Holdings Bhd mencatatkan penyusutan pendapatan sebanyak RM268.41 juta atau 19% kepada RM1.18 bilion pada suku pertama tahun kewangan 2027 (1QFY27), berikutan gangguan perdagangan antarabangsa dan permintaan lebih lemah terhadap produk berasaskan minyak sawit.
Konflik Iran-Amerika Syarikat (AS) serta penutupan berpanjangan sempadan Pakistan-Afghanistan menjejaskan jumlah eksport kumpulan, selain meningkatkan kos penghantaran dan memberi tekanan kepada margin keuntungan.
C.I. Holdings dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, ketegangan geopolitik telah mengganggu perdagangan komoditi global dan aktiviti perkapalan antarabangsa, sekali gus menjejaskan permintaan daripada pasaran eksport utamanya.
Gangguan tersebut menyebabkan kapal terpaksa menggunakan laluan alternatif, kelewatan penghantaran, kenaikan caj pengangkutan laut serta peningkatan premium insurans risiko perang.
Pengukuhan ringgit berbanding dolar AS secara tahunan turut menjejaskan nilai pendapatan eksport kumpulan selepas ditukar kepada ringgit, memandangkan sebahagian besar jualan eksportnya menggunakan mata wang AS.
Permintaan Afrika dan Timur Tengah meningkat
Bagaimanapun, berbanding suku sebelumnya, pendapatan C.I. Holdings meningkat 35% daripada RM869.4 juta, didorong peningkatan jumlah jualan khususnya dari Afrika dan Timur Tengah.
Meskipun jualan menunjukkan pemulihan secara suku ke suku, keuntungan operasi merosot 17% akibat penyusutan margin keuntungan dan peningkatan perbelanjaan operasi, termasuk kos penghantaran serta premium insurans risiko perang.
Dalam menghadapi ketidaktentuan pasaran global, kumpulan akan terus mengembangkan perniagaan minyak makan secara berhemat bagi meningkatkan nilai kepada pemegang saham.
Keuntungan bersih merosot kepada RM11.05 juta
Bagi suku pertama berakhir 30 September 2026, C.I. Holdings mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM11.05 juta berbanding RM14.25 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Keuntungan sebelum cukai menyusut 5% kepada RM23.41 juta daripada RM24.69 juta, manakala keuntungan kasar menurun kepada RM58.29 juta daripada RM64.29 juta.
Jumlah pinjaman bank kumpulan setakat 30 September 2026 adalah sebanyak RM553.38 juta, manakala tunai dan setara tunai berjumlah RM350.80 juta.
Pendapatan sesaham menyusut kepada 6.82 sen berbanding 8.80 sen pada tempoh sama tahun sebelumnya, manakala lembaga pengarah tidak mencadangkan pembayaran dividen bagi suku berkenaan.- DagangNews.com






