Pendapatan Velesto diunjur melonjak kepada RM57 juta pada 2H26 selepas NAGA 3 kembali beroperasi - BIMB Securities

LocalBusiness & Finance
5 Nov 2026 • 9:59 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pendapatan Velesto diunjur melonjak kepada RM57 juta pada 2H26 selepas NAGA 3 kembali beroperasi - BIMB Securities Image from: Pendapatan Velesto diunjur melonjak kepada RM57 juta pada 2H26 selepas NAGA 3 kembali beroperasi - BIMB Securities hamden05/11/2026 - 09:59 Pelantar Naga 3 kembali beroperasi. Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Nov - Velesto Energy Bhd dijangka mencatatkan pemulihan pendapatan teras kepada RM57 juta pada separuh kedua 2026 (2H26), meningkat berbanding RM28 juta yang direkodkan pada separuh pertama 2026 (1H26), disokong peningkatan kadar penggunaan pelantar penggerudian kepada 90%.

 

Bagaimanapun, peningkatan itu dijangka sebahagiannya diimbangi kadar penggerudian harian yang lebih rendah.

 

BIMB Securities berkata pemulihan prestasi itu turut mendapat sokongan daripada pengoperasian semula pelantar penggerudian NAGA 3 selepas memperoleh kontrak baharu daripada PETRONAS Carigali Sdn Bhd, sekali gus meningkatkan penggunaan armada dan memberikan keterlihatan pendapatan lebih baik bagi suku keempat 2026 (4Q26).

 

Kontrak berkenaan menandakan tugasan penggerudian pertama NAGA 3 selepas cadangan penjualan pelantar itu dibatalkan.

 

Ia merangkumi penggerudian satu telaga tetap dan satu telaga pilihan, dengan operasi dijadualkan bermula November 2026 dan dijangka selesai pada Disember 2026.

 

Berdasarkan kadar sewaan harian semasa pelantar jenis jack-up di rantau ini sekitar AS$90,000 hingga AS$100,000 sehari serta anggaran tempoh kempen selama dua bulan, firma penyelidikan menganggarkan kontrak itu berpotensi menyumbang hasil kira-kira RM25 juta atau 4% daripada anggaran hasil kumpulan bagi tahun kewangan 2026 (FY26).

 

Unjuran pendapatan kekal

Firma penyelidikan itu bagaimanapun mengekalkan unjuran pendapatan FY26 tanpa perubahan kerana kontrak berkenaan masih dalam lingkungan andaian sedia ada, iaitu kadar penggunaan 70% dan purata kadar penggerudian harian (DCR) AS$100,000.

 

Untuk rekod, Velesto mencatatkan kadar penggunaan kira-kira 65% dengan purata kadar penggerudian harian AS$105,000 pada 1H26.

 

Pendapatan teras kumpulan merosot 72% tahun ke tahun kepada RM28 juta, terutamanya disebabkan kadar penggerudian harian yang lebih rendah, sekali gus mewakili 26% daripada unjuran pendapatan FY26 sebanyak RM85 juta.

 

Dalam perkembangan industri, persekitaran semasa dilihat menyokong aktiviti penggerudian apabila kadar sewaan harian pelantar jack-up yang lebih rendah membantu mengurangkan kos penggerudian telaga, manakala harga minyak yang tinggi meningkatkan daya maju ekonomi projek.

 

Bagaimanapun, pasaran serantau masih berdepan tekanan akibat lebihan bekalan pelantar yang ditempatkan semula dari Timur Tengah, sekali gus memberi kesan kepada kadar penggerudian harian.

 

Saranan dinaikkan kepada BELI

Situasi itu bagaimanapun berpotensi membuka peluang kepada Velesto untuk mengembangkan perniagaan pengurusan pelantar pihak ketiga.

 

Susulan perkembangan itu, firma penyelidikan berkenaan menaik taraf saranan terhadap Velesto kepada BELI daripada PEGANG, dengan harga sasaran (TP) dikekalkan pada RM0.24 berdasarkan kaedah aliran tunai terdiskaun (DCF).

 

Menurut firma itu, kelemahan harga saham baru-baru ini menyediakan peluang menarik kepada pelabur untuk mengumpul saham Velesto, disokong kadar hasil dividen sekitar 10%. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved