
IPOH – Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepaskan dan membebaskan seorang pendawai elektrik daripada pertuduhan menanam pokok ganja di sebuah rumah di sini, tiga tahun lalu.
Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi memutuskan demikian terhadap Aszizi Ayub, 37, selepas pihak pendakwaan didapati gagal membuktikan kes prima facie.
“Setelah menilai keterangan-keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwa serta hujah daripada pihak pembelaan, mahkamah dengan ini mendapati pihak pendakwaan gagal untuk membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
“Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan,” katanya ketika membacakan keputusan di akhir kes pendakwaan.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah membenarkan tumbuhan jenis pokok kanabis seberat 253.4 gram ditanam dan dibiarkan tumbuh di dalam beg plastik hitam oleh individu lain.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Persiaran Wira Jaya Timur 36, Taman Dato Leow Yan Sip dalam daerah Kinta pada pukul 8.30 malam, 31 Julai 2023.
Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 6B(1)(c) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan boleh disebat tidak kurang daripada enam sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. S. Pavitra manakala tertuduh diwakili peguam Keshvinder Singh, Sukhdave Singh dan Renver Singh. – KOSMO! ONLINE
The post Pendawai elektrik bebas pertuduhan tanam pokok ganja appeared first on Kosmo Digital.






