
GEORGE TOWN : Bunyi dentuman kuat yang mengejutkan penduduk ketika sedang tidur pagi tadi rupanya berpunca daripada kejadian tanah runtuh yang berlaku berhampiran kediaman mereka di Taman Seri Rambai, Paya Terubong, di sini, hari ini.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, 30-an, berkata, bunyi runtuhan itu kedengaran seperti guruh dan sangat kuat kerana lokasi kejadian hanya kira-kira 20 meter dari rumahnya.
Lim yang sudah lebih 30 tahun menetap di kawasan itu bersama isteri serta kedua ibu bapanya berkata, dia kemudian segera keluar untuk melihat keadaan sebaik terdengar bunyi berkenaan kira-kira pukul 8 pagi.
“Masa itu saya sedang tidur. Bunyi itu sangat kuat kerana lokasi kejadian memang dekat dengan rumah saya. Sebaik sahaja keluar, saya nampak ada kejadian tanah runtuh berlaku di kawasan berhampiran,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di lokasi kejadian.
Dalam kejadian tersebut, seorang lelaki disahkan meninggal dunia selepas tertimbus gara-gara terperangkap di dalam rumahnya manakala dua lagui penghuni dilaporkan berjaya menyelamatkan diri ketika kejadian.
Mengulas lanjut, Lim berkata, dia mengenali mangsa yang juga jirannya kerana sering melihat lelaki terbabit berkebun pada setiap hujung minggu.
Katanya, walaupun kawasan itu pernah mengalami runtuhan yang hampir sama kira-kira 10 tahun lalu dan sudah dibaiki, namun, rata-rata penduduk masih bimbang berikutan projek pembangunan bangunan setinggi 47 tingkat sedang dibangunkan di kawasan berkenaan.
“Sejak dulu, setiap kali hujan lebat, lumpur sering mengalir hingga menutupi jalan. Setakat yang saya lihat, tindakan pihak pemaju hanya menghantar pekerja untuk membersihkan jalan berkenaan. Jadi, apabila hujan lebat, keadaan itu berulang dan menyebabkan kami sentiasa berasa bimbang,” katanya.
Lim berkata, dia pernah membuat aduan mengenai keadaan itu, namun, mengakui sukar mengemukakan bukti kukuh kerana bukan pakar dalam bidang berkaitan.
Sementara itu, mangsa yang maut berjaya dibawa keluar daripada kawasan runtuhan kira-kira pukul 11.21 pagi tadi oleh sepasukan anggota bomba yamg bertugas.
Menurut bomba, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Wong Kar Lin, 73, manakala dua individu yang terselamat pula ialah isteri dan anak mereka yang masing-masing berusia 68 dan 35 tahun. – UTUSAN
The post Penduduk dakwa tanah runtuh hanya 20 meter dari rumah ‘Bunyi runtuhan seperti guruh’ appeared first on Utusan Malaysia.






