Penduduk Kampung Kepah lega jambatan sementara dibuka

19 Nov 2026 • 8:07 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Penduduk Kampung Kepah lega jambatan sementara dibuka

HULU TERENGGANU : Penantian lebih sebulan penduduk Kampung Kepah dan kawasan sekitarnya untuk menikmati semula laluan lebih dekat berakhir apabila jambatan sementara (Bailey) berhampiran Sungai Kepah di Jalan Kuala Berang–Sungai Tong dibuka kepada pengguna jalan raya bermula Ahad lepas.

Jambatan yang dibina dengan kos RM385,000 itu sekali gus melegakan penduduk yang sebelum ini terpaksa menggunakan laluan alternatif lebih jauh selepas jambatan asal ditutup sejak 13 Oktober lalu akibat kerosakan struktur.

Penduduk Kampung Kepah, Mohd Rusdi Ismail, 38,  berkata, penutupan jambatan berkenaan menyebabkan perjalanan menghantar anaknya ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matang yang sebelum ini hanya mengambil masa kira-kira dua minit  menjadi kira-kira 20 minit.

Menurutnya, keadaan itu turut menjejaskan rutin harian penduduk, khususnya ibu bapa yang perlu menghantar anak ke sekolah setiap pagi yang terpaksa menggunakan jalan lebih jauh.

“Jadi, apabila jambatan sementara ini dibuka, perjalanan kembali mudah dan kami tidak perlu lagi berpusing jauh untuk menghantar anak ke sekolah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Bagi Manisah Osman, 56, pula, jambatan sementara itu amat dinantikan kerana laluan berkenaan merupakan antara penghubung utama penduduk untuk melakukan pelbagai urusan harian.

Katanya, penggunaan semula laluan itu bukan sahaja menjimatkan masa perjalanan, malah memudahkan penduduk keluar masuk kampung selepas lebih sebulan terpaksa menggunakan laluan alternatif.

“Sekurang-kurangnya sekarang urusan harian menjadi lebih mudah dan kami berharap jambatan sementara ini dapat digunakan dengan selamat terutama ketika musim tengkujuh,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Hanafiah Mat berkata, kerja-kerja pemasangan jambatan Bailey berkenaan berjaya disiapkan dalam tempoh enam hari sahaja dan  siap pada 10 November lalu.

Menurutnya, kerja pembinaan laluan penyambung diteruskan selepas itu sebelum jambatan berkenaan dibuka kepada orang ramai pada 15 November.

“Jambatan sepanjang kira-kira 21 meter itu turut direka dengan mengambil kira keadaan muka bumi serta risiko banjir di kawasan berkenaan apabila dinaikkan kira-kira 1.2 meter sebagai langkah mengurangkan risiko terjejas akibat limpahan air ketika Monsun Timur Laut (MTL),” ujarnya. – UTUSAN

The post Penduduk Kampung Kepah lega jambatan sementara dibuka appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved