amree06/11/2026 - 12:00 Gambar hiasan - BERNAMA Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Nov – Penduduk Selangor tidak boleh mengharapkan masalah banjir di negeri itu dapat dihapuskan dalam tempoh singkat, terutama ketika berdepan keadaan cuaca semakin ekstrem, meskipun kerajaan negeri masih melaksanakan ratusan projek tebatan banjir bernilai berbilion ringgit.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri giat meneruskan pelbagai usaha dalam menangani masalah banjir menerusi pelaksanaan sejumlah projek mitigasi jangka panjang dan langkah segera, namun kesannya itu masih lagi memerlukan masa untuk dicapai.
Beliau menambah, faktor hujan luar biasa lebat yang melanda beberapa kawasan baru-baru ini melebihi paras kebiasaan, sekali gus menjadi punca utama mencetuskan banjir di Puncak Alam, sekitar Universiti Teknologi MARA (UiTM), Alam Suria, Saujana Utama dan Sungai Buloh.
"Kerajaan negeri bagaimanapun turut menyediakan beberapa bantuan segera kepada penduduk yang terjejas bagi memastikan keperluan semua mangsa banjir dapat ditangani dengan baik ketika operasi pemindahan dan bantuan dilaksanakan pihak berkuasa," jelas beliau.
Bagi memperkukuh usaha penyelarasan kata Amirudin, satu pasukan petugas khas membabitkan kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah ditubuhkan pada 2024 bagi mengelakkan pendekatan secara berasingan dalam pengurusan banjir.

Kata beliau, sebanyak 105 projek tebatan banjir jangka panjang dengan jumlah keseluruhan bernilai RM4.28 bilion kini dalam pelaksanaan di seluruh negeri berkenaan dan dijadualkan dapat siap secara berperingkat-peringkat.
Selain itu ujarnya lagi, kira-kira 255 projek mitigasi segera bernilai hampir RM70 juta turut dilaksanakan di sejumlah lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko banjir kilat setiap kali hujan lebat dalam tempoh masa tertentu.
"Kira-kira 70% daripada projek mitigasi segera itu sudah pun disiapkan, manakala baki kerja disasarkan selesai menjelang akhir tahun ini," kata Amirudin
Dalam perkembangan berkaitan, Selangor dan Kuala Lumpur turut mengusahakan pelan lima pendekatan bagi menangani risiko banjir, termasuk menilai kapasiti Empangan Batu dan Empangan Klang Gates serta mengenal pasti lokasi berpotensi untuk pembinaan kolam takungan baharu di kawasan hulu.
Pendekatan bersepadu itu jelas beliau, bertujuan meningkatkan lagi tahap keupayaan pengurusan aliran air dan mengurangkan risiko limpahan ketika hujan lebat, selain melengkapkan projek tebatan banjir yang sedang dilaksanakan di Selangor. - DagangNews.com






