
PETALING JAYA: Banjir kilat yang terus berulang di Lembah Klang mencetuskan kekecewaan penduduk apabila masalah sama terpaksa dihadapi setiap kali hujan lebat, meskipun pelbagai projek tebatan banjir dilaksanakan dengan peruntukan berbilion ringgit.
Lebih membimbangkan, kejadian itu bukan sahaja mengancam kediaman dan harta benda, malah mengganggu rutin harian apabila perjalanan ke tempat kerja yang lazimnya mengambil masa 30 minit meningkat sehingga tiga jam akibat jalan ditutup dan kesesakan lalu lintas.
Meskipun kira-kira RM22 bilion dibelanjakan bagi projek tebatan banjir termasuk di Lembah Klang, persoalannya sampai bila penduduk perlu menanggung kesan masalah itu dan sejauh mana keberkesanan langkah yang dilaksanakan dalam memastikan banjir tidak terus berulang?
Penduduk Shah Alam, Iskandar Azfar Mohd Saad, 23, berkata, pihak berwajib perlu mengambil tindakan lebih drastik bagi menangani masalah banjir kilat yang berulang sehingga menjejaskan urusan harian orang ramai.
Katanya, masalah banjir yang berulang menyebabkan penduduk terpaksa sentiasa memantau keadaan kawasan masing-masing bagi mengelakkan kerugian.
Katanya, maklumat menerusi kamera litar tertutup (CCTV) pemantauan banjir Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mendorongnya bangun seawal pukul 5 pagi untuk memeriksa keadaan banjir.
Menurutnya, paparan CCTV menunjukkan air mula naik di Jalan Lontar Cakera, menyebabkan kereta sewa di Seksyen 13 segera dialihkan bagi mengelakkannya ditenggelami banjir.
“Apa yang saya harapkan adalah pihak kerajaan lebih serius menangani masalah ini. Jangan hanya fokus kepada pembinaan projek baharu tetapi pastikan projek sedia ada disiapkan dengan sempurna dan diselenggara dengan baik.
“Rakyat sudah penat menghadapi masalah yang sama setiap kali hujan lebat. Kami mahukan tindakan dan penyelesaian, bukan sekadar janji,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Banjir kilat yang terus berulang di Lembah Klang semakin mencetuskan keresahan dan kekecewaan penduduk apabila Shah Alam dan Sungai Buloh dilanda banjir sehingga tiga kali dalam tempoh seminggu.
Kejadian terbaharu susulan hujan lebat berterusan kelmarin menyebabkan beberapa kawasan di Selangor dilanda banjir kilat dan limpahan air, sekali gus mengganggu perjalanan serta urusan harian penduduk.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan dua projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh dan RTB Sungai Damansara bernilai hampir RM700 juta dipercepatkan bagi mengatasi masalah banjir yang berulang di kawasan berkenaan.
Selain mempercepatkan projek jangka panjang itu, satu penyelesaian sementara menerusi pembinaan kolam tadahan turut diarahkan bagi mengurangkan risiko banjir kilat sementara menunggu keseluruhan projek disiapkan.
Seorang lagi penduduk, Muhammad Fikri Sohaimi, 32, berkata, perjalanannya ke tempat kerja yang lazimnya, mengambil masa 30 minit namun bertukar hampir tiga jam susulan penutupan Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) yang dinaiki banjir.
Katanya, perjalanan menghantar anaknya ke sekolah di Setia Alam dari kediamannya di Seksyen 16, Shah Alam turut mengambil masa lebih sejam akibat kesesakan.
“Selepas menghantar anak ke sekolah, saya bertolak ke Seksyen 4, Shah Alam pada pukul 8 pagi, tetapi sampai pada pukul 11 pagi akibat penutupan NKVE.
“Projek tebatan banjir perlu dipercepatkan walaupun berdepan kekangan kontrak pembinaan, selain penyelesaian sementara perlu dilaksanakan bagi mengurangkan kesan banjir sementara menunggu projek itu disiapkan,” katanya.
Bagi penduduk Puncak Alam, Raja Nur Zafeerah Raja Zaiin, 34, pula berkata, banjir kilat di sekitar Shah Alam turut menjejaskan perjalanan hariannya apabila laluan berhampiran Lebuhraya Persekutuan, bersebelahan i-City, kerap dinaiki air sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas melebihi sejam.
Katanya, keadaan itu memberi kesan kepada orang awam kerana rutin harian terganggu dan mereka terpaksa mencari laluan alternatif untuk meneruskan urusan.
“Keadaan ini memberi kesan besar kepada orang awam kerana rutin harian terganggu dan kami terpaksa mencari laluan alternatif untuk meneruskan urusan,” katanya.
Beliau berkata, masalah saliran tersumbat dan longkang yang tidak diselenggara dengan baik perlu ditangani segera bagi mengurangkan risiko banjir kilat.
“Pihak berkuasa juga perlu melakukan rondaan dan pemeriksaan lebih kerap di tapak pembinaan bagi memastikan pemaju mematuhi prosedur penyimpanan serta pembuangan sisa binaan yang ditetapkan,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi warga Shah Alam, Nur Hana Mohd, 34, berkata, dia terpaksa menggunakan laluan alternatif melalui Eco Business Park dan Dedaun Worldwide untuk ke tempat kerja di kawasan Coalfields selepas laluan biasa berhampiran kedai perabot Avatar, berdekatan projek pembinaan jalan LBS, dinaiki air.
Katanya, projek pembinaan jalan yang berlarutan hampir lapan tahun itu antara perkara yang perlu diberi perhatian berikutan kawasan berkenaan sering dinaiki air setiap kali hujan lebat.
“Perjalanan yang lazimnya mengambil masa 20 minit meningkat kepada kira-kira 35 minit pagi ini walaupun saya keluar rumah pada pukul 9.30 pagi.
“Paras air juga boleh mencecah paras pinggang setiap kali hujan lebat berikutan keadaan kawasan itu yang sering dinaiki air,” katanya.
Beliau berharap sistem perparitan di kawasan berkenaan ditambah baik dan pihak berkuasa menyediakan pelan alternatif bagi mengurangkan kesan banjir kilat. – UTUSAN
The post Penduduk tuntut tindakan drastik tangani banjir kilat appeared first on Utusan Malaysia.





