
KUALA SELANGOR, 20 OGOS: Aksi sukan petanque pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Arena Petanque Kuala Selangor berlangsung dengan standard pengadilan bertaraf antarabangsa apabila diketuai pengadil dunia, Muhammad Amirul Buntat.
Muhammad Amirul, 32, yang dilantik sebagai Ketua Delegasi Teknikal sukan petanque pada temasya kali ini merupakan pengadil dunia termuda di bawah International Technical Official, Fédération Internationale de Pétanque et Jeu Provençal (FIPJP).
Beliau yang fasih Berbahasa Perancis itu juga adalah antara lapan pengadil dari Asia yang mendapat pengiktirafan badan induk sukan petanque dunia itu.
Menariknya, perjalanan Muhammad Amirul dalam sukan berkenaan bermula secara tidak langsung selepas beliau terlebih dahulu menceburi sukan memanah sebelum beralih kepada petanque ketika bertugas sebagai sukarelawan.
Minat terhadap sukan yang menuntut ketepatan dan fokus tinggi itu akhirnya membawa beliau ke bidang pengadilan sehingga berjaya mencapai tahap antarabangsa.
“Saya berada pada puncak prestasi sebagai pemain tetapi dunia dilanda pandemik COVID-19 yang menyebabkan saya mengambil keputusan untuk menjadi pengadil.
“Bermula mengadili perlawanan di peringkat dalam negara, saya mula mengambil lesen di peringkat Asia sebelum akhirnya lulus di peringkat dunia,” katanya kepada Media Selangor.
Muhammad Amirul berkata, pengalaman paling tinggi sepanjang karier pengadilnya setakat ini ialah bertugas pada World Games di Chengdu, China pada Ogos 2025.
“Kini saya mengetuai delegasi teknikal Sukan Malaysia,” katanya.
Beliau berharap semua pemain yang bertanding pada SUKMA kali ini dapat mempamerkan aksi terbaik selain mematuhi etika dan peraturan permainan bagi memastikan setiap pertandingan berlangsung dengan selamat, teratur dan profesional.
Menurutnya, tahap pengadilan yang tinggi juga penting bagi memastikan perkembangan sukan petanque di Malaysia terus seiring dengan standard antarabangsa.
Penglibatan pengadil bertaraf dunia seperti Muhammad Amirul sekali gus memberi nilai tambah kepada penganjuran acara petanque SUKMA 2026, selain menjadi platform kepada pemain muda untuk merasai pengalaman pertandingan pada tahap lebih tinggi.






