Pengambilalihan PMB Technology: Kenanga kekal berhati-hati, prospek Press Metal masih mencabar

LocalBusiness & Finance
6 Aug 2026 • 10:27 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pengambilalihan PMB Technology: Kenanga kekal berhati-hati, prospek Press Metal masih mencabar Image from: Pengambilalihan PMB Technology: Kenanga kekal berhati-hati, prospek Press Metal masih mencabar hamden06/08/2026 - 10:27 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Kenanga Research mengekalkan pandangan neutral terhadap cadangan Press Metal Aluminium Holdings Bhd (Press Metal) untuk memperoleh tambahan 36% pegangan dalam PMB Technology Bhd (PMBT) pada nilai RM465 juta secara tunai, dengan berpandangan urus niaga itu lebih bersifat strategik untuk jangka panjang berbanding mampu memberikan lonjakan keuntungan dalam masa terdekat.

 

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun pengambilalihan tersebut akan meningkatkan pegangan Press Metal dalam PMBT daripada 23% kepada 59%, sekali gus menjadikan PMBT sebagai anak syarikat, sumbangan kepada prestasi kewangan kumpulan dijangka masih terhad dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

 

Katanya, ini kerana PMBT masih mencatat kerugian, manakala harga logam silikon global terus berada dalam kitaran menurun akibat lebihan bekalan yang berpanjangan.

 

"Secara keseluruhannya, kami menjangkakan pertambahan pendapatan daripada pengambilalihan ini kekal terhad dalam jangka masa terdekat.

 

"Sumbangan bermakna daripada aset yang akan dinaik taraf hanya dijangka selepas loji baharu mencapai tahap pengeluaran optimum pada separuh kedua 2027," katanya dalam nota penyelidikan.

 

Cabaran Harga Logam SIlikon

Menurut Kenanga Research, harga logam silikon telah merosot kira-kira 63% daripada paras tertinggi AS$3.47 setiap paun kepada sekitar AS$1.27 setiap paun setakat akhir Julai 2026 berikutan lebihan bekalan global yang masih berterusan.

 

Keadaan itu dijangka bertambah mencabar apabila hampir satu juta tan kapasiti baharu yang disokong syarikat China di Indonesia mula beroperasi menjelang penghujung tahun ini, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap harga komoditi tersebut.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu mengakui pengambilalihan tersebut mempunyai rasional strategik yang kukuh kerana PMBT memiliki kemudahan peleburan sedia ada berserta peruntukan tenaga hidro sebanyak 129 megawatt (MW).

 

Menurutnya, aset itu akan membolehkan Press Metal mempercepatkan rancangan membangunkan loji peleburan aluminium primer berkapasiti 80,000 tan setahun, sebelum berkembang kepada pengeluaran aloi silikon-aluminium.

 

Pengurusan Press Metal menganggarkan kos menaik taraf kemudahan itu sekitar AS$150 juta, jauh lebih rendah berbanding kos melebihi AS$200 juta untuk membangunkan projek baharu di tapak hijau (greenfield).

 

Loji tersebut dijangka memulakan pentauliahan pada separuh pertama 2027 sebelum mencapai pengeluaran penuh pada separuh kedua tahun yang sama.

 

Unjuran Perdapatan

Dari sudut kewangan, Kenanga Research berkata pengambilalihan itu akan dibiayai sepenuhnya menggunakan dana dalaman, dengan nisbah penggearan pro forma hanya meningkat sedikit daripada 0.37 kali kepada 0.43 kali, sekali gus mencerminkan kedudukan imbangan Press Metal yang masih kukuh.

 

Susulan penyatuan PMBT ke dalam kumpulan, firma penyelidikan itu menyemak unjuran pendapatan Press Metal bagi FY26 hingga FY27 dengan jangkaan pencairan kecil sekitar 0.2% hingga 0.3%, mengambil kira operasi PMBT yang masih rugi serta kelemahan harga logam silikon.

 

Sehubungan itu, Kenanga Research mengekalkan saranan "Market Perform" terhadap Press Metal dengan harga sasaran RM8.80, berdasarkan andaian kos modal purata berwajaran (WACC) 7.3% dan kadar pertumbuhan terminal (TG) 2% yang tidak berubah. Penilaian itu turut mengambil kira premium ESG sebanyak 5% berikutan penarafan ESG empat bintang syarikat. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved