Pengambilan pekerja Malaysia berisiko perlahan akibat permintaan eksport lemah - TA Securities

LocalBusiness & Finance
12 Nov 2026 • 2:11 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pengambilan pekerja Malaysia berisiko perlahan akibat permintaan eksport lemah - TA Securities Image from: Pengambilan pekerja Malaysia berisiko perlahan akibat permintaan eksport lemah - TA Securities sarah12/11/2026 - 14:11 Gambar hiasan dari FB Datuk Seri R. Ramanan Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Nov - Pengambilan pekerja di Malaysia berisiko menjadi perlahan sekiranya permintaan eksport terus melemah atau sekatan perdagangan baharu diperkenalkan, walaupun kadar pengangguran negara kekal rendah pada 2.9% setakat September 2026.

 

TA Securities berkata, kelemahan permintaan luar boleh mendorong pengilang berorientasikan eksport mengurangkan kerja lebih masa atau menangguhkan pengambilan pekerja, manakala kelewatan pelaksanaan projek pelaburan berpotensi menjejaskan peluang pekerjaan dalam sektor pembinaan dan perkhidmatan berkaitan.

 

Menurut firma penyelidikan itu, risiko utama pasaran buruh ialah pertumbuhan pengambilan pekerja menjadi lebih perlahan ketika jumlah tenaga buruh terus meningkat, sekali gus memberi tekanan kepada prospek pekerjaan sekiranya aktiviti ekonomi kehilangan momentum.

 

Bagaimanapun, TA Securities mengekalkan unjuran kadar pengangguran negara pada 3% bagi keseluruhan 2026, sejajar dengan anggaran Kementerian Kewangan, sebelum dijangka berada antara 2.8% hingga 3% pada 2027.

 

Jumlah penganggur meningkat walaupun kadar kekal stabil

Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang dipetik TA Securities, jumlah penganggur meningkat 0.3% kepada 513,200 orang pada September 2026 berbanding 511,600 orang pada Ogos, walaupun kadar pengangguran kekal pada 2.9%.

 

Pada masa sama, jumlah tenaga buruh meningkat 0.1% kepada 17.40 juta orang, manakala bilangan penduduk bekerja bertambah kepada 16.89 juta orang, dengan kadar penyertaan tenaga buruh tidak berubah pada 71%.

 

Bagi suku ketiga 2026, kadar pengangguran kekal pada 3%, meskipun bilangan penganggur meningkat 0.8% kepada 513,700 orang daripada 509,700 orang pada suku sebelumnya, mencerminkan pertambahan tenaga buruh dalam tempoh berkenaan.

 

Pelancongan dan pelaburan dijangka sokong pekerjaan

TA Securities menjangkakan perbelanjaan musim cuti dan peningkatan ketibaan pelancong menyokong pengambilan pekerja dalam sektor peruncitan, perhotelan dan pengangkutan pada suku keempat 2026, manakala projek pelaburan yang memasuki fasa pelaksanaan dijangka meningkatkan permintaan pekerja pembinaan.

 

Firma penyelidikan itu turut melihat kemungkinan kadar pengangguran menurun kepada 2.8% pada 2027 sekiranya momentum Tahun Melawat Malaysia 2026 berterusan, sekali gus merangsang pengambilan pekerja dalam sektor pelancongan, makanan dan minuman serta perkhidmatan berkaitan.

 

Namun, TA Securities memberi amaran bahawa kadar pengangguran mungkin kekal menghampiri 3% sekiranya permintaan luar yang lemah memperlahankan pengambilan pekerja sektor pembuatan atau pelaksanaan projek pelaburan tertangguh, sekali gus mengehadkan pertumbuhan peluang pekerjaan baharu.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved