sarah12/11/2026 - 11:24 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Nov - RHB Bank Berhad berdepan risiko gagal mencapai sasaran pulangan atas ekuiti (ROE) sehingga 11% bagi tahun kewangan 2026 (FY26) berikutan tekanan terhadap margin faedah bersih dan pendapatan dagangan yang lemah, menurut TA Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, sasaran ROE antara 10.8% hingga 11% yang ditetapkan pengurusan mungkin sukar dicapai tanpa peningkatan keuntungan yang ketara pada separuh kedua tahun ini, memandangkan ROE tahunan kumpulan hanya berada sekitar 10% setakat akhir Jun 2026.
Menurut TA Securities, keuntungan RHB Bank dijangka kekal sederhana pada suku ketiga FY26 apabila persaingan mendapatkan deposit pelanggan terus meningkatkan kos pembiayaan, manakala ketidaktentuan pasaran bon memberi tekanan kepada pendapatan dagangan.
Keuntungan bersih bank itu sebelum ini menyusut 5.8% kepada RM807 juta pada suku kedua FY26 berbanding RM857 juta pada suku pertama, manakala margin faedah bersih (NIM) mengecil sebanyak empat mata asas kepada 1.82% susulan peningkatan kos pembiayaan.
Kos deposit dan pendapatan dagangan terus tertekan
TA Securities berkata, persaingan sengit dalam pasaran deposit tetap dijangka mengekalkan kos pembiayaan pada paras tinggi, sekali gus meningkatkan risiko NIM terus mengecil pada suku ketiga walaupun pengurusan mengekalkan sasaran antara 1.83% hingga 1.86% bagi FY26.
Pendapatan bukan berasaskan dana turut merosot 9.4% kepada RM580 juta pada suku kedua, berbanding RM640 juta pada suku sebelumnya, berikutan pendapatan dagangan dan pertukaran asing yang lebih rendah serta penyusutan keuntungan daripada pelaburan sekuriti.
Bagaimanapun, pertumbuhan pinjaman kekal kukuh apabila pembiayaan kumpulan berkembang pada kadar tahunan 6.1% dalam separuh pertama FY26, melebihi sasaran pengurusan antara 5% hingga 6%, dengan momentum itu berpotensi berterusan pada suku ketiga.
Kualiti aset dan kawalan kos jadi perhatian
Dari segi kualiti aset, nisbah pinjaman terjejas kasar RHB Bank berada pada 1.47% pada suku kedua, melebihi sasaran pengurusan antara 1.35% hingga 1.40%, dengan operasi luar negara khususnya di Thailand dan Kemboja memerlukan pemantauan lebih rapi.
Sementara itu, program pengoptimuman kos PROGRESS27 telah menghasilkan penjimatan terkumpul RM288 juta, menghampiri sasaran RM300 juta hingga RM350 juta bagi FY26, manakala pengurusan kini menjangkakan perbelanjaan operasi kekal hampir tidak berubah berbanding tahun sebelumnya.
Sehubungan itu, TA Securities mengekalkan saranan 'Beli' terhadap RHB Bank tetapi menurunkan harga sasaran saham kepada RM8.34 daripada RM8.76 sebelum ini, susulan semakan andaian kadar pulangan bebas risiko daripada 3.5% kepada 4%, selain mengambil kira tekanan jualan pelabur asing dan sentimen pasaran yang lemah. - DagangNews.com





