AmInvest: Peningkatan ketara harga gandum jejaskan margin perniagaan tepung PPB

Business & Finance
21 Sep 2026 • 10:25 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

AmInvest: Peningkatan ketara harga gandum jejaskan margin perniagaan tepung PPB Image from: AmInvest: Peningkatan ketara harga gandum jejaskan margin perniagaan tepung PPB amree21/09/2026 - 10:25 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 Sept — Kenaikan ketara harga gandum kini memberi tekanan kepada margin perniagaan tepung PPB Group Berhad, dengan risiko lebih besar jika harga bahan mentah itu kekal tinggi untuk tempoh berpanjangan, menurut AmInvestment Bank Research (AmInvest).

 

Menurut firma itu, harga gandum jenis 'soft red winter' meningkat daripada paras terendah US$5.60 (RM22.82) setiap bushel pada Disember 2025 kepada lebih US$7 (RM28.53), sekali gus meningkatkan tekanan kos terhadap bahagian bijirin dan agribisnes yang banyak bergantung tepung.

 

Dalam jangka pendek katanya, kumpulan tersebut masih mampu mempertahankan margin sebelum faedah dan cukai (EBIT) kerana mempunyai inventori gandum bagi tempoh antara satu hingga tiga bulan yang sudah dikunci awal pada harga yang lebih rendah.

 

"Kami namun memberi amaran jika harga gandum terus pada paras tinggi, margin EBIT terutamanya perniagaan tepung, akan terjejas ketara, selepas margin keuntungan sebelum cukai bahagian itu susut kepada 6.8% pada 1HFY26 daripada 7.8% pada 1HFY25," jelas AmInvest.

 

Tekanan terhadap perniagaan itu menjadi antara cabaran utama PPB walaupun dijangka mencatat pertumbuhan keuntungan bersih sebanyak 8.9% kepada RM1.4 bilion pada FY27, didorong oleh sumbangan lebih kukuh daripada Wilmar International Limited (Wilmar).

 

Kumpulan itu ujarnya, memiliki kepentingan 18.8% dalam Wilmar, yang menyumbang 80% daripada keuntungan sebelum cukai PPB sendiri dengan AmInvest berkata prestasi Wilmar menjadi pemacu utama keuntungan kumpulan berkenaan.

 

Sementara itu, faktor pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) sejak akhir-akhir ini turut memberi manfaat kerana keputusan kewangan Wilmar diterjemahkan daripada dolar AS kepada ringgit.

 

PPB_DagangNews2026

 

"Keuntungan bersih Wilmar dijangka meningkat 10.5% kepada AS$1.7 bilion (RM6.93 bilion) pada FY27 daripada AS$1.6 bilion (RM6.52 bilion) pada FY26, disokong margin lebih tinggi dalam perniagaan perdagangan minyak sawit, kacang soya dan gula," katanya.

 

Selain itu, prestasi bahagian pameran filem PPB turut bergantung kepada kejayaan filem laris yang dijangka menyokong prestasi FY27 antaranya Star Wars: Starfighter, Godzilla x Kong: Supernova dan Shrek 5, namun peningkatan kos operasi seperti gaji dan elektrik kekal sebagai risiko.

 

Ujar AmInvest, keuntungan sebelum cukai (PBT) bahagian berkenaan merosot 63.8% kepada RM9.3 juta pada 1HFY26 daripada RM25.7 juta pada 1HFY25, menunjukkan cabaran yang dihadapi segmen berkenaan.

 

Dari segi penilaian saham, PPB kini didagangkan pada nisbah harga kepada pendapatan (PE) FY27 sebanyak 9.3 kali, lebih rendah berbanding Wilmar iaitu 10.4 kali dan purata PE PPB sebanyak 13 kali ganda dalam tempoh lima tahun lalu, dengan julat antara 8 hingga 18 kali.

 

"Kami turut melihat prospek dividen PPB sebagai antara faktor sokongan, dengan hasil dividen FY27 dianggarkan 4.5% berdasarkan dividen sesaham kasar 42.3 sen dan harga saham RM9.36," jelas firma berkenaan tanpa menetapkan sebarang saranan dan harga sasaran (TP).

 

Bloomberg jelasnya, menilai TP PPB berada dalam julat RM10.20 hingga RM13.60, manakala pemangkin harga saham termasuk pertumbuhan keuntungan Wilmar serta dividen PPB yang lebih tinggi daripada jangkaan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved