amree07/08/2026 - 10:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Ogos – Southern Score Builders Berhad terus berdepan tekanan kenaikan kos bahan binaan dan menangani kekurangan tenaga kerja mahir ketika sektor pembinaan semakin kompetitif.
Penganalisis berkata, cabaran harga material mahal dan isu pekerja wajar diberi perhatian serius dalam usaha syarikat mengekalkan pertumbuhan hasil menerusi aliran kontrak projek pusat data (DC) yang kukuh.
TA Securities merujuk kontrak terbaharu diraih bernilai RM1.4 bilion yang merupakan projek pertama bagi FY27 sekali gus meningkatkan nilai buku tempahan belum siap kumpulan kepada kira-kira RM1.6 bilion.
"Jumlah itu bersamaan 7.4 kali ganda hasil FY25, dan memberikan jaminan aliran hasil kukuh dalam tempoh terdekat, dengan mampu menjana untung bersih Southern Score sekitar RM17.6 juta," jelasnya.
Ia turut menjangkakan kumpulan itu terus memperoleh banyak kontrak mekanikal dan elektrikal (M&E) susulan perkembangan pesat pembinaan DC serta buku tender yang sihat berjumlah RM528.4 juta.
Walaupun ia menyemak semula andaian perolehan kontrak segmen pembinaan bangunan dengan dinaikkan sasaran kontrak M&E syarikat, TA Securities menurunkan unjuran keuntungan pada FY26 hingga FY28.

Sehubungan itu, ia mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham Southern Score tetapi menurunkan harga sasaran (TP) kepada 70 sen daripada 82 sen, berdasarkan asas buku tempahan yang masih lagi kukuh.
"Hubungan strategik dengan syarikat Platinum Victory dan Radium, pendedahan luas kepada sektor DC, serta keupayaan mengekalkan margin keuntungan dijangka menyokong pertumbuhan," tambahnya.
Sementara itu, Apex Securities pula menyifatkan tender itu sebagai kontrak kedua terbesar pernah diperoleh Southern Score menerusi bahagian M&E, dengan syarikat sudah meraih empat projek DC sepanjang 2026.
Firma itu menganggarkan kontrak ini mampu menjana keuntungan bersih RM13.5 juta dari FY27 hingga FY28 berdasarkan margin 18%, atau 13.5% daripada unjuran keuntungan Southern Score pada FY27.
Ujarnya, jika tidak diambil kira kontrak terbaharu itu, bahagian M&E memiliki buku tempahan pada paras rekod RM339.2 juta setakat Jun 2026, manakala kumpulan masih ada buku tender RM382 juta.
"Justeru, kami mengekalkan saranan 'beli' dan TP 78 sen, tanpa perubahan kepada unjuran keuntungan kerana kontrak tersebut sudah diambil kira dalam andaian tempahan FY27," kata Apex Securities.
Ia berpandangan Southern Score berada pada kedudukan baik, namun risiko kenaikan kos bahan binaan, kekurangan pekerja dan lebihan bekalan hartanah kekal sebagai cabaran utama. - DagangNews.com






