Tempahan produk Pantech penuh 240 hari lebih awal, penganalisis optimis saran 'beli' saham

Business & Finance
5 Aug 2026 • 10:20 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Tempahan produk Pantech penuh 240 hari lebih awal, penganalisis optimis saran 'beli' saham Image from: Tempahan produk Pantech penuh 240 hari lebih awal, penganalisis optimis saran 'beli' saham amree05/08/2026 - 10:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 OgosPantech Group Holdings Berhad terus mengukuhkan prospek pertumbuhan dengan tempahan produk kini habis dipenuhi sehingga tempoh 240 hari lebih awal, menurut penganalisis.

 

Perkembangan itu mencerminkan permintaan kukuh daripada pasaran eksport serta sektor minyak dan gas (O&G), mendorong dua firma penyelidikan mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham syarikat ini.

 

TA Securities berkata, momentum operasi masih teguh dengan permintaan produk keluli tahan karat ditempah hingga Disember 2026, manakala pesanan keluli karbon memenuhi kapasiti hingga Mac 2027.

 

"Tempoh penghantaran mungkin panjang berbanding 45 hari, bukan sebab gangguan rantaian bekalan, tetapi tempahan tinggi dipacu keyakinan pelanggan terhadap rekod konsisten Pantech," jelasnya dalam nota.

 

Ia menjangka margin keuntungan bertambah baik mulai 2QFY27 susulan kenaikan harga jualan purata (ASP) bagi produk keluli karbon dan keluli tahan karat, selain disokong kos bahan mentah yang semakin stabil.

 

Ujar TA Securities, walaupun kilang beroperasi hampir kapasiti penuh, pihak pengurusan syarikat tiada melakukan pengembangan, sebaliknya memilih pendekatan automasi, dan penambahbaikan proses.

 

Pantech_DagangNews2026

 

Ini termasuk penghapusan kekangan operasi bagi mengekalkan pulangan pelaburan Pantech yang sihat dengan peningkatan kecekapan pengeluaran melalui penggunaan mesin pemotong moden jenis laser.

 

"Justeru, kami mengekalkan saranan dengan harga sasaran (TP) 70 sen sesaham," katanya. Phillip Capital pula menjangka prestasi kewangan terus bertambah baik pada suku kedua tahun kewangan 2027.

 

Perkembangan positif itu tambahnya, disokong permintaan eksport yang kukuh, khususnya bagi komponen penyejukan pusat data (DC) di pasaran Amerika Syarikat (AS) serta pemulihan aktiviti O&G domestik.

 

Buku tempahan segmen perdagangan Pantech juga melebihi RM100 juta setakat Julai 2026, manakala nilai tender naik 80%, dipacu pembangunan projek O&G luar pesisir dan saluran paip gas di Malaysia.

 

Phillip Capital turut menjangka margin bersih terus berkembang apabila kesan penuh kenaikan ASP yang dilaksanakan antara November 2025 hingga Jun 2026 direkodkan pada suku kedua dan ketiga FY27.

 

"Di samping permintaan kekal kukuh dengan tempoh tempahan penuh 240 hari, langkah pemasangan 10 mesin pemotong laser berjaya mengurangkan kos bahan guna habis sehingga 80%," kata firma tersebut.

 

Sehubungan itu, ia mengekalkan saranan 'beli' dengan TP 83 sen sesaham, berikutan prospek keuntungan yang semakin kukuh serta penilaian sahamnya masih lagi menarik. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved