amree21/08/2026 - 09:46 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Ogos — Tekanan kos termasuk perbelanjaan serta pelarasan berkaitan rangkaian 5G menjadi cabaran utama Telekom Malaysia Berhad (TM), sekali gus memberi tekanan kepada keuntungan dilaporkan dan prospek dividen kumpulan, menurut MBSB Research.
Kata firma itu, kenaikan harga saham TM sebanyak 8.7% sejak saranan dinaik taraf pada 22 Mei 2026 menyebabkan hasil dividen kini susut di bawah paras 5%, manakala penilaian pada 6.8 kali margin kasar dilihat agak tinggi berbanding rekod purata lima tahun sebanyak 6.3 kali.
Pada masa sama, ia mengakui momentum hasil TM kekal positif merentasi Unifi, TM One dan TM Global. Namun, nisbah kos kepada hasil yang lebih tinggi, khususnya pada FY26, dijangka menekan keuntungan kerana dasar dividen TM berdasarkan keuntungan dilaporkan.
"Susulan itu, kami menurunkan saranan kepada 'neutral' daripada 'beli' dengan harga sasaran (TP) yang tidak berubah pada RM8.31 sesaham," jelas MBSB Research dalam notanya.
Prestasi 2QFY26 TM sedikit di bawah jangkaan apabila keuntungan bersih dinormalkan berjumlah RM406.4 juta, susut 8.8% YoY walaupun hasil meningkat 6.8% kepada RM2.96 bilion. Kos tambahan penyiaran Piala Dunia FIFA menjadi antara faktor utama yang menekan keuntungan. Bagi 1HFY26, keuntungan bersih dinormalkan meningkat 7% kepada RM842.6 juta, disokong pertumbuhan hasil 4.8%.
MBSB Research turut menjangka perbelanjaan modal (capex) TM naik ketara pada separuh kedua 2026 selepas capex 1HFY26 turun 32.3% YoY kepada RM555.6 juta. Kumpulan mencatat dividen interim kedua iaitu 7 sen sesaham, menjadikan jumlah 1HFY26 sebanyak 13.5 sen, selaras perubahan dasar kepada pembayaran minimum 75% daripada keuntungan selepas cukai dilaporkan. Justeru ia menurunkan unjuran keuntungan FY26 dan FY27 masing-masing 6% dan 2.5%.

CGS International (CGSI) pula mengekalkan pandangan positif dengan saranan 'tambah' dan TP RM9.50. Firma itu berkata keuntungan bersih teras 2QFY26 sebanyak RM366 juta meningkat 6.2% YoY dan 17.8% QoQ apabila kos kembali normal selepas TM merekodkan hapus kira RM127.3 juta bayaran pendahuluan kepada Digital Nasional Berhad (DNB) berkaitan perkhidmatan 5G pada 1QFY26.
"Kami melihat ruang peningkatan pembayaran dividen pada separuh kedua 2026, dengan TM mempunyai kedudukan kunci kira-kira yang kurang beban dan menjangkakan nisbah pembayaran dividen boleh meningkat kepada 80%, berbanding 75% pada 1HFY26, dengan hasil dividen FY27 dianggarkan 6.3%. Pertumbuhan hasil 1HFY26 sebanyak 4.8% pula disokong kapasiti pusat data baharu, permintaan bandwidth borong dan sumber hasil perusahaan baharu," katanya.
Firma itu turut melihat potensi kos skim Prihatin atau pemisahan secara sukarela pekerja (VSS) FY26F lebih rendah daripada panduan asal kumpulan. Bagaimanapun, sebarang pengurangan kos Prihatin dalam tempoh semasa boleh menyebabkan kos kakitangan lebih tinggi pada masa depan berikutan tempoh pulangan kos sekitar dua tahun yang pernah dinyatakan pengurusan. CGSI melihat rasionalisasi kos dan trajektori hasil yang bertambah baik sebagai pemangkin kepada penilaian semula saham TM.
RHB Research pula mengekalkan saranan 'beli' dan TP RM9.30, menyifatkan pertumbuhan struktur TM masih utuh. Firma itu menjangkakan pertumbuhan keuntungan teras sebanyak 14% bagi FY26 hingga FY28, didorong pemacu pertumbuhan struktur dan disiplin kos. TP itu turut merangkumi premium ESG 4% dan bersamaan kira-kira 6.6 kali margin kasar, sejajar purata sejarah jangka panjang TM.
"Keuntungan teras 1HFY26 meningkat 7% dan mewakili 48% daripada unjuran tahunannya, manakala keuntungan operasi teras akan meningkat 2% jika kos berkaitan Piala Dunia FIFA dikecualikan. Segmen TM One mencatat pertumbuhan hasil 2% pada 1HFY26, pertumbuhan terkuat dalam tempoh lebih empat tahun, sementara TM Global meningkat 7%," katanya.
Selain itu, RHB Research turut menyoroti perkembangan pusat data TM Nxera, usaha sama 51:49 TM dengan Singtel, dan menjangkakan perniagaan pusat data (DC) mencatat pertumbuhan hasil dua angka pada FY27, dengan potensi sumbangan keuntungan hingga RM60 juta setahun daripada TM Nxera.
Ia juga melihat langkah TM keluar daripada rangkaian 5G DNB sebagai pemangkin kos apabila migrasi tapak MOCN kepada U Mobile selesai pada 31 Julai dan TM dijangka beralih kepada rangkaian 5G kedua mulai Ogos. Langkah itu dijangka menghasilkan penjimatan kos langsung, manakala pertumbuhan perniagaan DC, peningkatan pulangan atas modal dilaburkan dan peluang pengurusan modal menjadi antara pemangkin utama saham. - DagangNews.com





