amree21/08/2026 - 12:25 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Ogos — Kos bahan api dibimbangi kekal menjadi cabaran utama yang perlu ditangani YTL Power International Berhad dalam masa terdekat, menurut analisis dua firma penyelidikan.
Mereka turut berpandangan risiko harga bahan api yang lebih tinggi dikenal pasti sebagai antara masalah utama boleh menjejaskan prospek pertumbuhan masa depan kumpulan berkenaan sendiri.
Kedua-dua firma itu namun mengekalkan saranan 'beli' terhadap YTL Power dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi, didorong peningkatan sumbangan pusat data (DC) serta pengembangan kapasiti di Kulai dan Sedenak, Johor.
Antaranya, RHB Research menaikkan TP kepada RM7 daripada RM6.35, memberikan potensi kenaikan 36%, selepas mengambil kira prospek margin lebih tinggi daripada perniagaan DC ketika kumpulan meningkatkan penggunaan kapasiti.
"Segmen DC menyumbang RM244 juta kepada keuntungan sebelum cukai (PBT) pada 4QFY26, berbanding RM59 juta pada 3QFY26, susulan pertumbuhan hasil 105% suku ke suku (QoQ) dengan kapasiti 150MW sudah dikontrak. Keuntungan teras segmen itu turut naik 106% QoQ," katanya.
YTL Power ujarnya, berada pada landasan untuk menyiapkan tambahan 200MW kapasiti DC di Kulai menjelang Jun 2027, manakala pengambilalihan tanah seluas 59 hektar di Sedenak Tech Park membuka ruang meningkatkan kapasiti kira-kira 400MW setahun.
Dalam pada itu jelas RHB Research, bekalan air dan elektrik sedia ada di kawasan tersebut juga dijangka membantu dalam mempercepatkan usaha pembinaan kemudahan DC.
"Kami menganggarkan nilai RM33 bilion atau RM3.62 sesaham bagi kapasiti 1.2GW di Kulai. Jika YTL Power berjaya membangunkan tambahan 1GW kapasiti di Sedenak dalam tempoh sama, senario kenaikan itu berpotensi menambah RM2.90 sesaham dan menghasilkan nilai saksama RM9.90," katanya.

AmInvestment Bank (AmInvest) turut mengekalkan 'beli' dengan TP dinaikkan kepada RM6.86 daripada RM4.90, dengan melihat DC sebagai pemacu pertumbuhan utama yang membolehkan saham YTL Power diniagakan menghampiri julat atas penilaian rekod lima tahun.
Katanya, unit DC mencatat PBT RM345.5 juta bagi FY26, dengan PBT 4QFY26 meningkat kepada RM244.3 juta daripada RM59.3 juta pada 3QFY26, sebahagiannya disebabkan pengiktirafan hasil tertangguh.
Sekitar 150MW kapasiti jelas firma penyelidikan tersebut, sudah ditauliahkan pada akhir Jun 2026, manakala tambahan kira-kira 258MW lagi dijangka siap menjelang FY27.
"Bagaimanapun, keuntungan bersih FY26 sebanyak RM1.7 bilion adalah 7% lebih rendah daripada unjuran, terutama akibat kadar cukai efektif lebih tinggi sebanyak 26.6% serta kepentingan minoriti," jelas AmInvest.
Justeru, unjuran FY27 diturunkan 4.6%, manakala FY28 dinaikkan 12.6% berikutan sumbangan DC lebih tinggi serta jangkaan pentauliahan loji kuasa hidrogen 600MW di Singapura pada Disember 2027.
Ia turut menjangkakan pemulihan YTL PowerSeraya pada FY27 selepas prestasi FY26 terjejas akibat penutupan penyelenggaraan, tarif lebih rendah dan margin runcit yang mengecil.
Gangguan bekalan gas turut menyebabkan unit itu membeli elektrik di pasaran terbuka pada kos tinggi, sekali gus menekan margin; namun kontrak runcit yang tamat pada Disember 2026 dan Januari 2027 dijangka ditetapkan semula pada tarif lebih tinggi.
Secara keseluruhan, kemampuan kumpulan mengurus kos bahan api, memastikan pentauliahan kapasiti baharu mengikut jadual serta memulihkan prestasi PowerSeraya akan menjadi faktor penting untuk mengekalkan momentum keuntungan. - DagangNews.com





