“Macam American Gangster” – JSJN Bongkar Sindiket Dadah Guna Penerbangan TUDM, Syabu Bernilai RM4.83 Juta

20 Nov 2026 • 10:04 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

syaz ft 86

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah rentas sempadan yang mengeksploitasi kemudahan penerbangan ketenteraan bagi menjalankan kegiatan haram mereka.

Menerusi satu kenyataan media oleh Pengarah JSJN, CP Dato’ Hussein Omar Khan pada 19 November lalu, kejayaan tersebut dicapai hasil kerjasama risikan strategik antara JSJN Bukit Aman bersama Cawangan Provos Marsyal, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Menurut beliau, beberapa siri operasi yang dilaksanakan di sekitar Lembah Klang dan Labuan, Sabah pada 17 November telah membawa kepada penahanan seramai 11 individu terdiri daripada lima pegawai TUDM dan enam orang awam.

“Operasi tersebut turut membawa kepada rampasan 96.64 kilogram dadah disyaki jenis Methamphetamine (Syabu) bernilai RM4.83 juta, selain cecair bahan kimia seberat 6.98 kilogram,” jelas kenyataan itu.

Hasil risikan awal mendapati sindiket terbabit dipercayai telah aktif sejak Julai 2026. Mereka menggunakan kemudahan pengangkutan udara ketenteraan TUDM untuk menyeludup dadah dari Semenanjung Malaysia ke Sabah sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa, khususnya ke Filipina dan Indonesia.

Siasatan mendapati dua daripada individu awam yang diberkas bertindak sebagai koordinator, manakala pihak polis kini sedang giat mengesan seorang lagi warga tempatan yang disyaki ketua sindiket.

Kesemua lima pegawai TUDM yang ditahan telah direman selama tujuh hari bermula 18 hingga 24 November 2026, sementara suspek awam direman antara dua hingga lima hari bagi membantu siasatan. Ujian saringan awal air kencing turut mendapati dua tangkapan awam positif dadah jenis Methamphetamine.

Selain rampasan dadah yang berpotensi menjejaskan 483,000 individu itu, JSJN turut menyita tiga buah kenderaan jenis Honda CR-V, Toyota Vios dan Land Cruiser bernilai keseluruhan RM172,062.00.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan pihak polis menegaskan tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat tanpa mengira pangkat atau kedudukan.

Sumber: Facebook

Sumber: Harian Metro/PDRM

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved