Pengarah, pemilik syarikat didakwa buat tuntutan palsu Perkeso

LocalPolitics
13 Aug 2026 • 1:11 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pengarah, pemilik syarikat didakwa buat tuntutan palsu Perkeso

JOHOR BAHRU – Dua pengarah syarikat dan pasangan suami isteri yang merupakan pemilik syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas 15 pertuduhan berasingan berkaitan tuntutan palsu insentif Program Daya Kerjaya 2.0 kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), tahun lalu.

Keempat-empat tertuduh, Tan Soon Long, 37, Liew Kam Hin, 51, Lee Thiam Hee, 50, dan isterinya, Toh Siew Ngo, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim N. Kanageswari.

Soon Long yang juga pengarah U Spa 3333 Sdn. Bhd. dan Lucky Durian Sdn. Bhd. berdepan sembilan pertuduhan membabitkan kedua-dua syarikat berkenaan.

Kam Hin yang merupakan pengarah International Ecological Economy Business Academy Sdn. Bhd. pula menghadapi empat pertuduhan, manakala pasangan suami isteri, Thiam Hee dan Siew Ngo yang merupakan pemilik Easyway Bus Enterprise masing-masing berdepan satu pertuduhan.

Berdasarkan pertuduhan, Soon Long, Kam Hin dan Siew Ngo didakwa dengan niat memperdayakan prinsipal mereka dengan menyerahkan Borang Pengesahan Pekerja Daya Kerjaya 2.0 kepada ejen Perkeso yang mengandungi pernyataan palsu.

Bagi Thiam Hee pula, dia didakwa bersubahat dengan isterinya dengan memberikan kepada ejen Perkeso borang sama yang mengandungi pernyataan palsu bagi tujuan memperdayakan prinsipal.

Kesemua kesalahan itu didakwa berlaku antara 4 April hingga 27 Ogos 2024 di Taman Sri Tebrau, Taman Daya dan Taman Setia Indah, di dalam daerah Johor Bahru.

Soon Long, Kam Hin dan Siew Ngo didakwa mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 (Akta 694), manakala Thiam Hee didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) akta sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan yang palsu atau silap itu, jika dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Chan Lee Lee bersama Pegawai Pendakwa Alice Voon Mei Ling, Fazal Lisam Abidin dan Ameera D’Aneez Mohd. Shukari.

Sementara itu, Thiam Hee dan Siew Ngo diwakili peguam Xander Lim Wait Keong, manakala Soon Long dan Kam Hin diwakili Dahlia Tan Pui San.

Mahkamah membenarkan semua tertuduh diikat jamin dengan Soon Long dikenakan RM30,000, Kam Hin RM12,000, manakala Thiam Hee dan Siew Ngo masing-masing RM10,000, dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan semua tertuduh perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Kes itu kemudian ditetapkan untuk sebutan semula pada 18 September depan bagi tujuan serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE

The post Pengarah, pemilik syarikat didakwa buat tuntutan palsu Perkeso appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved