Pemilik syarikat, perunding bergelar Datuk tak mengaku buat tuntutan palsu

LocalPolitics
12 Aug 2026 • 2:05 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pemilik syarikat, perunding bergelar Datuk tak mengaku buat tuntutan palsu

JOHOR BAHRU: Lima pemilik syarikat dan seorang perunding perniagaan bergelar Datuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas 11 pertuduhan berasingan berkaitan tuntutan palsu insentif Program Daya Kerjaya 2.0 kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), dua tahun lalu.

Tertuduh, Junizan Yacob, 48; Misni Arsan, 66; Mohd. Izuan Sohaini, 44; Norazlinah Mohammad Hassan, 43; Mohd. Sam Anagin, 60, dan Datuk Rosli Buang, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, N. Kanageswari.

Mengikut kertas pertuduhan, Junizan yang merupakan pemilik Damai Sejagat berdepan empat pertuduhan, manakala Misni (pemilik Basri Network Enterprise) didakwa atas tiga pertuduhan dan Mohd. Izuan (pemilik Kaizer Maju Enterprise) berdepan dua pertuduhan.

Sementara itu, Mohd. Sam (pemilik Sam Sri Kurnia Enterprise) dan Norazlinah (pemilik Azli & Lin Enterprise) masing-masing berdepan satu pertuduhan atas kesalahan membuat tuntutan palsu bagi program insentif berkenaan.

Manakala, Rosli selaku perunding syarikat didakwa atas pertuduhan bersubahat dengan salah seorang pemilik syarikat terbabit untuk melakukan kesalahan yang sama.

Mengikut pertuduhan, kesemua pemilik syarikat didakwa menyerahkan dokumen Borang Pengesahan Pekerja Daya Kerjaya 2.0 atas nama syarikat masing-masing kepada ejen PERKESO yang mengandungi pernyataan palsu dengan niat untuk memperdayakan prinsipal di beberapa premis perniagaan di Parit Sulong, Sri Medan dan Kampung Parit Warijo dalam daerah Batu Pahat antara 14 Mac hingga 11 Jun 2024.

Kelima-lima pemilik syarikat didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694), manakala Rosli didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Chan Lee Lee bersama Pegawai Pendakwa Alice Voon Mei Ling, Fazal Lisam Abidin dan Ameera D’Aneez Mohd. Shukari, manakala kelima-lima pemilik syarikat diwakili peguam, Noor Asyikin Syafiqah Atham Malik, manakala Rosli diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 bagi Rosli, Norazlinah dan Mohd Sam manakala Misni dan Junizan pula dikenakan jaminan RM12,000, manakala Mohd. Izuan sebanyak RM10,000, masing-masing dengan seorang penjamin.

Tertuduh juga diperintahkan untuk melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan selain menetapkan tarikh 18 September bagi sebutan semula kes untuk penyerahan dokumen serta pelantikan rasmi peguam bagi Rosli.-UTUSAN

The post Pemilik syarikat, perunding bergelar Datuk tak mengaku buat tuntutan palsu appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved