Pemilik syarikat, perunding bergelar Datuk ‘sakau’ tuntutan Perkeso

LocalPolitics
12 Aug 2026 • 3:01 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pemilik syarikat, perunding bergelar Datuk ‘sakau’ tuntutan Perkeso

JOHOR BAHRU – Taktik mengemukakan dokumen pekerja yang didakwa mengandungi maklumat palsu bagi mendapatkan insentif Program Daya Kerjaya 2.0 membawa enam individu, termasuk seorang perunding perniagaan bergelar Datuk, ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Lima pemilik syarikat dan seorang perunding berkenaan didakwa atas 11 pertuduhan berasingan membabitkan tuntutan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada tahun 2024.

Kesemua tertuduh iaitu Junizan Yacob, 48; Misni Arsan, 66; Mohd. Izuan Sohaini, 44; Norazlinah Mohammad Hassan, 43; Mohd. Sam Anagin, 60, dan Datuk Rosli Buang, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim N. Kanageswari.

Mengikut pertuduhan, Junizan selaku pemilik Damai Sejagat berdepan empat pertuduhan, manakala Misni yang merupakan pemilik Basri Network Enterprise didakwa atas tiga pertuduhan.

Mohd. Izuan, pemilik Kaizer Maju Enterprise pula menghadapi dua pertuduhan, manakala Mohd. Sam selaku pemilik Sam Sri Kurnia Enterprise dan Norazlinah, pemilik Azli & Lin Enterprise, masing-masing berdepan satu pertuduhan.

Rosli pula didakwa bersubahat dengan salah seorang pemilik syarikat terbabit bagi melakukan kesalahan berkenaan.

Kesemua pemilik syarikat didakwa menyerahkan Borang Pengesahan Pekerja Daya Kerjaya 2.0 atas nama syarikat masing-masing kepada ejen Perkeso yang mengandungi pernyataan palsu dengan niat untuk memperdayakan prinsipal.

Kesalahan itu didakwa berlaku di beberapa premis perniagaan di Parit Sulong, Sri Medan dan Kampung Parit Warijo, Batu Pahat, antara 14 Mac hingga 11 Jun 2024.

Kelima-lima pemilik syarikat didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, manakala Rosli didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Chan Lee Lee bersama Alice Voon Mei Ling, Fazal Lisam Abidin dan Ameera D’Aneez Mohd. Shukari.

Kelima-lima pemilik syarikat diwakili peguam Noor Asyikin Syafiqah Atham Malik, manakala Rosli diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM8,000 setiap seorang terhadap Rosli, Norazlinah dan Mohd. Sam, manakala Misni dan Junizan masing-masing dikenakan jaminan RM12,000.

Mohd. Izuan pula dibenarkan jaminan RM10,000 dan kesemua tertuduh perlu menyediakan seorang penjamin.

Mahkamah turut memerintahkan semua tertuduh melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 18 September ini bagi penyerahan dokumen serta pelantikan rasmi peguam bagi Rosli.-KOSMO! ONLINE

The post Pemilik syarikat, perunding bergelar Datuk ‘sakau’ tuntutan Perkeso appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved