Pengawal keselamatan ditemui meninggal dunia dalam longkang

26 Aug 2026 • 6:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pengawal keselamatan ditemui meninggal dunia dalam longkang
Mangsa ditemui dalam keadaan terbaring di dalam longkang di tepi jalan Kampung Pasir Ambor Dalam pada pagi Rabu.

KUALA PILAH - Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan terbaring di dalam longkang di tepi jalan Kampung Pasir Ambor Dalam, di sini pada pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, siasatan mendapati lelaki berkenaan berusia 26 tahun dan bekerja sebagai pengawal keselamatan.

“Berdasarkan maklumat awal, polis menerima laporan berhubung penemuan seorang lelaki terbaring di tepi jalan di kawasan berkenaan pada jam lebih kurang 8.40 pagi.

“Susulan laporan tersebut, Ketua Polis Balai Kuala Pilah bersama Pegawai Penyiasat telah hadir ke lokasi kejadian dan hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa ditemui di dalam sebuah longkang berhampiran jalan, dengan terdapat ranting serta batang pokok yang patah di kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, pemeriksaan awal ke atas tubuh mangsa tidak menemui sebarang kesan pukulan, kelar atau tanda-tanda pergelutan yang boleh mengaitkan unsur jenayah.

Menurutnya, siasatan awal turut mendapati mangsa mempunyai sejarah penyakit sawan sejak kecil dan berdasarkan keterangan ahli keluarga, mangsa pernah mengalami keadaan tidak sedarkan diri selepas mengalami serangan sawan.

“Hasil daripada bedah siasat, punca sebenar kematian adalah tidak diketahui dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Muhamad Mustafah berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah di talian 06-4842999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved