Pengerusi Bank Islam Ismail Bakar bersara, Mohd Yuzaidi terajui lembaga pengarah dalam tempoh peralihan

LocalBusiness & Finance
23 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pengerusi Bank Islam Ismail Bakar bersara, Mohd Yuzaidi terajui lembaga pengarah dalam tempoh peralihan Image from: Pengerusi Bank Islam Ismail Bakar bersara, Mohd Yuzaidi terajui lembaga pengarah dalam tempoh peralihan johardy23/08/2026 - 08:00 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Bank Islam Malaysia Berhad mengumumkan persaraan Pengerusinya, Tan Sri Dr Ismail Bakar, berkuat kuasa 22 Ogos 2026 selepas enam tahun menganggotai Lembaga Pengarah, termasuk sebagai pengerusi sejak Ogos 2020.

 

Bank Islam berkata, sepanjang tempoh itu, Ismail memberikan kepimpinan dan panduan strategik dalam menyokong pertumbuhan kumpulan, kecemerlangan tadbir urus serta penciptaan nilai jangka panjang.

 

Lembaga Pengarah merakamkan penghargaan terhadap sumbangan Ismail dalam memperkukuh rangka kerja tadbir urus kumpulan, menyokong agenda transformasi korporat serta mengukuhkan kedudukan Bank Islam sebagai institusi kewangan Islam berasaskan nilai yang terkemuka.

 

Sebagai sebahagian daripada komitmen kumpulan terhadap tadbir urus yang baik, kesinambungan kepimpinan dan perancangan penggantian yang teratur, Pengarah Kanan Bebas Bukan Eksekutif (SINED), Mohd Yuzaidi Mohd Yusoff akan terus melaksanakan tanggungjawabnya sebagai SINED, termasuk mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengarah mengikut Piagam Lembaga berkuat kuasa 22 Ogos sehingga pengerusi baharu dilantik.

 

Mohd Yuzaidi menganggotai Lembaga Pengarah Bank Islam sejak Julai 2019 dan kini mempengerusikan Jawatankuasa Risiko Lembaga serta Jawatankuasa Pencalonan dan Imbuhan Lembaga.

 

Bank Islam berkata, Lembaga Pengarah kekal lengkap dan komited untuk memastikan pengawasan berkesan, tadbir urus yang baik serta pelaksanaan berterusan agenda strategik kumpulan sepanjang tempoh peralihan itu.

 

Ismail perkukuh asas tadbir urus bank

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, YM Raja Datin Paduka Teh Maimunah Raja Abdul Aziz berkata, kepimpinan Ismail telah memperkukuh asas tadbir urus, fokus strategik dan keupayaan institusi Bank Islam.

 

“Bagi pihak Lembaga Pengarah, pengurusan dan warga kerja Bank Islam, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tan Sri Dr Ismail Bakar atas khidmat bakti, kebijaksanaan dan kepimpinan beliau selama ini.

 

“Kepimpinan beliau telah memperkukuh asas tadbir urus, fokus strategik dan keupayaan institusi kumpulan. Kami mengucapkan terima kasih atas sumbangan besar beliau terhadap pembangunan Bank Islam dan mendoakan kejayaan beliau pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.

 

Raja Teh Maimunah berkata, Lembaga Pengarah dan pengurusan telah bekerjasama rapat bagi memastikan peralihan kepimpinan berjalan lancar dan teratur.

 

“Dengan panduan berterusan Lembaga Pengarah di bawah kepimpinan Mohd Yuzaidi serta kekuatan pasukan pengurusan kami yang berpengalaman, kami kekal komited sepenuhnya untuk melaksanakan strategi, memberi perkhidmatan kepada pelanggan dan komuniti serta memberikan nilai mampan kepada pemegang saham dan pihak berkepentingan,” katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved