Pengerusi MAIS jumpa AJK Surau Taman Seraya, isu tular disiasat

LocalPolitics
28 Apr 2026 • 11:01 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Pengerusi MAIS jumpa AJK Surau Taman Seraya, isu tular disiasat

SHAH ALAM, 28 APRIL: Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato' Salehuddin Saidin mengadakan pertemuan dan sesi dialog bersama Ahli Jawatankuasa (AJK) Surau Taman Seraya, Ampang susulan isu pengoperasian surau itu yang tular di media sosial.

MAIS memaklumkan sesi tersebut bertujuan mendapatkan penjelasan lanjut mengenai situasi sebenar selepas aduan berkaitan perkara itu dibangkitkan.

Menurutnya, hasil taklimat oleh AJK surau mendapati seorang individu telah membangkitkan bantahan terhadap aktiviti pengimarahan yang dijalankan.

"Susulan itu, laporan polis juga dibuat AJK surau dan setakat ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan dengan menahan individu yang mencetuskan provokasi berkenaan.

"MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerahkan sepenuhnya proses siasatan lanjut kepada PDRM," katanya dalam kenyataan hari ini.

Image from: Pengerusi MAIS jumpa AJK Surau Taman Seraya, isu tular disiasat
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato' Salehuddin Saidin (tiga dari kanan) mengadakan sesi dialog bersama Ahli Jawatankuasa (AJK) Surau Taman Seraya, Ampang pada 28 April 2026.

Dalam pada itu, Salehuddin mengingatkan orang ramai supaya menyalurkan sebarang aduan berkaitan masjid dan surau melalui saluran rasmi seperti Pejabat Agama Islam Daerah (PAID), JAIS atau MAIS bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad; Setiausaha MAIS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini; serta Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid bersama wakil agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.

Terdahulu, media melaporkan bantahan terhadap pengurusan Surau Taman Seraya dipercayai berpunca daripada isu kesesakan lalu lintas ketika solat Jumaat, termasuk penggunaan ruang luar surau bagi aktiviti ibadah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata suspek berusia 46 tahun kini direman dan siasatan awal mendapati tindakannya bersifat individu tanpa pengaruh luar, selain berpunca daripada rasa tidak puas hati berhubung kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan.