KUALA LUMPUR - Seorang pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama isterinya dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban pada Rabu berhubung kes penyelewengan dana pertubuhan itu bernilai hampir RM13 juta.
Beliau yang juga merupakan pempengaruh agama terkenal itu dipercayai akan didakwa bersama isterinya yang berkhidmat sebagai setiausaha NGO berkenaan.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan, kedua-duanya akan didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban pada jam 9 pagi.
"Individu itu dan isterinya akan dituduh esok berhubung satu kes yang dibuka SPRM beberapa bulan lalu," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, pendakwah bebas berusia 30-an itu ditahan SPRM Negeri Sembilan kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dan menyeleweng dana NGO terbabit.
Individu berkenaan dipercayai menyalahgunakan kedudukan dan bersubahat dengan ahli jawatankuasa lain dengan memindahkan sejumlah wang ke akaun bank miliknya serta lapan akaun syarikat yang turut dimilikinya.






