hamden17/08/2026 - 11:32 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 Ogos - Maxis Bhd dijangka meneruskan strategi pertumbuhan melalui aktiviti penggabungan dan pengambilalihan (M&A) yang meningkatkan pendapatan mulai FY27, dengan langkah itu berpotensi mengukuhkan lagi perniagaan perusahaan kumpulan.
MBSB Research berkata, pada masa sama, hasil dividen hampir 5% dijangka kekal menjadi antara daya tarikan utama saham syarikat telekomunikasi itu.
Firma itu berkata, M&A yang dilaksanakan kumpulan berpotensi memberikan sumbangan pendapatan tambahan, khususnya dalam segmen perusahaan, sekali gus menyokong pertumbuhan pendapatan Maxis dalam tempoh sederhana dan panjang.
"Kami menjangkakan kumpulan itu melaksanakan M&A yang meningkatkan pendapatan mulai FY27 dan seterusnya, berpotensi untuk terus mengukuhkan perniagaan perusahaan," katanya dalam nota penyelidikan.
Buat masa ini, Maxis terus menunjukkan prestasi hasil perkhidmatan yang berdaya tahan, dengan hampir semua subsegmen hasil mencatat trend peningkatan, kecuali segmen hasil perniagaan rumah yang mengalami sedikit penyusutan purata hasil setiap pengguna (ARPU).
Disiplin pengurusan kos yang berterusan turut menyokong pengembangan margin keuntungan secara beransur-ansur.
Bagi 2QFY26, pendapatan dinormalkan Maxis meningkat 10% tahun ke tahun (YoY) kepada RM440 juta, disokong pertumbuhan hasil segmen pengguna dan perusahaan masing-masing sebanyak 2.2% YoY.
Margin keuntungan turut meningkat kepada 16.6% daripada 15.7% pada 2QFY25.
Secara kumulatif, pendapatan dinormalkan 1HFY26 meningkat 12% YoY kepada RM861 juta, didorong pertumbuhan hasil pascabayar sebanyak 4.2% YoY serta hasil tetap dan penyelesaian sebanyak 7.8% YoY.
Penilaian dan Prestasi Kewangan
Prestasi kewangan bagi tempoh enam bulan pertama itu sedikit melebihi jangkaan penganalisis, merangkumi 53.6% daripada anggaran pendapatan penuh FY26.
MBSB Research mengekalkan saranan 'Beli' terhadap Maxis, namun menaikkan harga sasaran berasaskan aliran tunai terdiskaun (DCF) kepada RM4.31 daripada RM4.05 sebelum ini.
"Kami tidak membuat sebarang pelarasan terhadap unjuran hasil, namun memasukkan margin keuntungan yang lebih tinggi bagi mencerminkan struktur kos terkini Maxis susulan usaha berterusan meningkatkan kecekapan operasi," katanya.
Ini membawa kepada semakan menaik anggaran pendapatan FY26 hingga FY28 antara 6.4% hingga 7.4%.
Sementara itu, perbelanjaan modal (capex) Maxis bagi 2QFY26 meningkat 3.6% YoY kepada RM171 juta, menjadikan capex 1HFY26 sebanyak RM313 juta, meningkat 24.7% YoY.
Perbelanjaan itu tertumpu kepada pengembangan liputan gentian, pemodenan serta pengembangan kapasiti rangkaian, selain peningkatan kualiti rangkaian dan kebolehpercayaan perkhidmatan.
MBSB Research berkata, dalam tempoh terdekat, disiplin kos dan prestasi operasi yang lebih baik dijangka membantu Maxis mengimbangi potensi pengiktirafan sumbangan daripada Digital Nasional Bhd (DNB).
Dengan potensi M&A sebagai pemacu pertumbuhan baharu mulai FY27, pengukuhan perniagaan perusahaan serta hasil dividen hampir 5%, Maxis dilihat mempunyai beberapa faktor sokongan untuk mengekalkan momentum pendapatan dan menarik minat pelabur dalam tempoh akan datang. - DagangNews.com





