amree17/08/2026 - 09:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 Ogos – Sektor teknologi dijangka meneruskan momentum kenaikan sehingga separuh kedua 2026 (2H26), namun peningkatan harga memori kekal menjadi cabaran, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan tersebut turut melihat faktor ketidaktentuan geopolitik dan turun naik mata wang asing (forex) sebagai antara risiko yang boleh menjejaskan prospek pertumbuhan industri berkenaan.
Justeru, ia mengekalkan pandangan 'overweight', dengan Malaysian Pacific Industries Berhad, CTOS Digital Berhad, Pentamaster Corporation Berhad, dan JHM Consolidation Bhd sebagai saham pilihan utama.
"Kami menjangka indeks teknologi Bursa Malaysia (KLTEC) terus mengatasi prestasi pasaran apabila pertumbuhan hasil naik mulai suku kedua 2026, disokong peningkatan industri," kata RHB Research.
Sektor berkenaan kini didagangkan 27 kali nisbah harga kepada pendapatan hadapan, iaitu satu sisihan piawai di atas purata lima tahun, berbanding pertumbuhan pendapatan lebih 30% bagi FY26.
Firma itu turut melihat potensi besar saham teknologi memandangkan pemulihan pendapatan dan penambahbaikan operasi syarikat masih belum diterjemahkan sepenuhnya ke dalam penilaian pasaran.

Hasil semakan lapangan merentasi rantaian bekalan teknologi baru-baru ini mengukuhkan keyakinan RHB Research bahawa industri berada dalam fasa kitaran peningkatan yang berpotensi hingga FY27 kelak.
"Keadaan itu disokong kadar penggunaan kilang yang tinggi, pertumbuhan buku tempahan serta unjuran pelanggan yang positif susulan permintaan kecerdasan buatan (AI) semakin pantas," jelas firma itu.
Menurutnya, kitaran AI turut mendapat sokongan perkembangan industri semikonduktor global dengan perbelanjaan peralatan semikonduktor meningkat 10% kepada AS$138 bilion (RM562.8 bilion) tahun ini.
Di Malaysia pula tambah RHB Research, eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) naik 43% kepada RM468 bilion pada 1H26, menjana lebih separuh daripada pertumbuhan keseluruhan eksport negara.
Ujarnya, penggunaan pantas AI generatif dan pusat data (DC) berskala besar dijangka meningkatkan permintaan terhadap pembungkusan termaju, semikonduktor tenaga serta rangkaian berkelajuan tinggi.
"Bagaimanapun, kami memberi amaran harga memori tinggi boleh menekan permintaan elektronik pengguna dengan meningkatkan kos telefon pintar, komputer peribadi dan elektronik automotif," jelasnya.
Pada masa sama kata RHB Research, tekanan margin akibat kos, kelewatan tempahan dan kenaikan kadar faedah di Amerika Syarikat (AS) boleh mengehadkan penilaian saham teknologi. - DagangNews.com






