
KOTA BHARU – Bekas kekasih kepada seorang wanita yang dipercayai menanam janin di tepi rumah di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Batu Mengkebang di sini kira-kira dua tahun lalu akan ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, pihaknya sudah mengenal pasti suspek dan tangkapan akan dijalankan terhadap lelaki itu.
Katanya, sebelum ini, wanita berusia 30 tahun dan bekas suaminya yang berusia 32 ditahan bagi membantu siasatan, namun suspek lelaki itu sudah dibebaskan dengan jaminan polis.
“Kita sudah mengenal pasti bekas kekasih kepada suspek wanita dan akan menjalankan tangkapan terhadap lelaki itu dalam masa terdekat.
“Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengetahui sama ada janin tersebut mati di dalam kandungannya atau selepas ia digugurkan,” katanya pada sidang media selepas Program Aktiviti Riadah Bermotosikal/Sumbangan Kebajikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bersama Ipoh Super Biker’s Club (ISBC) Sempena Hari Polis Ke-219 Dan Sambutan Ambang Merdeka Ke-69 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Kosmo! Online kelmarin melaporkan, seorang wanita dan bekas suaminya dicekup bagi membantu siasatan berhubung kes menanam janin di tepi sebuah rumah di RPT Batu Mengkebang, Kuala Krai dekat sini kira-kira dua tahun lalu.
Wanita yang baru tiga hari melangsungkan perkahwinan dengan suaminya yang baharu dan bekas suaminya ditahan selepas mereka menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai di sini pada pukul 10.30 malam, Ahad lalu. – KOSMO! ONLINE
The post Bekas kekasih kepada wanita tanam janin diburu polis appeared first on Kosmo Digital.






