Tahun ini memperlihatkan ledakan dari segi pengenalan cip pemprosesan dan juga model komputer riba yang hadir dengan kemampuan untuk memproses tugasan kecerdasan buatan secara terbina. Microsoft khususnya telah memperkenalkan satu penjenamaan untuk komputer riba baru yang dinamakan Copilot+ PC yang menandakan bahawa sesebuah komputer riba mempunyai kebolehan ini.

Sebuah laporan oleh Canalys yang menganalisa pemasaran komputer riba pada suku ketiga 2024 memperlihatkan bahawa pembelian komputer-komputer riba Copilot/Copilot+ dengan kemampuan memproses tugasan AI ini tidak meluas seperti yang diharapkan.
Laporan tersebut mengatakan bahawa komputer-komputer riba yang dikuasakan oleh cip pemprosesan AMD Ryzen Pro 7000, 8000, AI 300, Intel Meteor Lake, Lunar Lake dan Qualcomm Snapdragon X terdiri daripada 53 peratus daripada jumlah komputer riba yang dipasarkan setakat ini.

Angka peratusan ini dilihat tinggi, ia juga dilaporkan bahawa kebanyakan daripada pasaran dan jualan komputer riba ini terdiri daripada siri cip pemprosesan Intel Meteor Lake dan AMD Ryzen Pro, mungkin kerana pada julat masa tersebut cip pemprosesan siri Intel Lunar Lake dan AMD Ryzen AI 300 baru sahaja memasuki pasaran.
Untuk komputer riba yang dikuasakan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon X pula, ia turut dilaporkan bahawa Qualcomm hanya terjual sebanyak 720 ribu komputer riba pada suku ketiga 2024, yang mana ia merupakan kurang daripada 1 peratus daripada jumlah jualan komputer riba pada suku tersebut.
Walaupun cip pemprosesan tersebut memperlihatkan kuasa pemprosesan yang hebat dan kecekapan penggunaan bateri yang bagus, komputer riba Windows 11 for Arm memperlihatkan beberapa isu seperti kekurangan sokongan perisian produktiviti yang merupakan satu tanda merah yang kritikal untuk pengguna.

Walaupun komputer-komputer riba ini semuanya hadir dengan kemampuan memproses kecerdasan buatan, kepentingan utama untuk pembeli sebenarnya ialah kuasa pemprosesan komputer yang cekap dan juga gabungan jangkahayat bateri yang lama, dimana rata-ratanya dapat diperlihatkan pada banyak komputer riba nipis dan ringan generasi baru yang diperkenalkan pada tahun ini.
Malah, dalam ulasan kami mengenai beberapa komputer riba dengan sokongan pemprosesan AI terbina ini, kami dapati bahawa ini adalah sebab utama mengapa anda mahu mendapatkan komputer-komputer riba baru ini, dan bukan untuk fungsi AI mereka, yang mana Microsoft sendiri belum perkenalkan secara umum.
