Pada pertengahan tahun ini, Qualcomm telah melancarkan siri cip pemprosesan Snapdragon X yang terdiri daripada Snapdragon X Elite dan Snapdragon X Plus yang menguasakan kebanyakan penawaran komputer riba yang menggunakan sistem operasi berdasarkan Arm hari ini, termasuklah Microsoft Windows For Arm.
Malah, siri cip pemprosesan ini adalah yang pertama untuk menerima pengesahan Copilot+ PC oleh Microsoft untuk kebolehannya menggerakkan teknologi AI dalam peranti secara terus. Walaupun begitu, satu isu yang diperlihatkan dengan komputer riba yang menguasakan cip-cip pemprosesan ini adalah tanda harganya yang agak mahal.

Baru-baru ini, di sebuah acara XDA-Developers, Qualcomm telah mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan sebuah lagi siri cip pemprosesan baru, yang kali ini hanya dinamakan Qualcomm Snapdragon X.
Qualcomm membuat pengumuman ini untuk menjawab pertanyaan tentang samada mereka akan menawarkan apa-apa produk untuk komputer riba kelas mampu-milik, dan mereka mengesahkan bahawa cip ini akan menguasakan komputer riba yang berada dalam tanda harga sekitar $600 (~RM2700).

Buat masa ini, tidak banyak yang diketahui mengenai cip pemprosesan ini, akan tetapi nampaknya ia sekurang-kurangnya akan hadir dengan sokongan Copilot+, jadi NPU yang digunakan adalah yang sebaik yang digunakan pada cip pemprosesan Snapdragon X Elite dan Snapdragon X Plus.
Buat masa ini, Qualcomm tidak mengesahkan sebarang spesifikasi lain mengenai cip pemprosesan ini, mahupun bilakah butiran lanjut akan diperlihatkan. Tetapi jangkaan orang ramai ialah Qualcomm akan sekurang-kurangnya membuat satu lagi pengumuman sewaktu acara CES 2025 kelak.
