KUALA LUMPUR – Pengguna diesel di Semenanjung bakal menikmati akses awal pembelian bahan api bersubsidi menerusi inisiatif Budi Madani yang mula diperkenalkan Sabtu ini, sebelum pelaksanaan penuh di seluruh negara pada 1 Julai depan.
Langkah itu dilihat sebagai usaha kerajaan memastikan sistem subsidi diesel lebih tersasar kepada rakyat yang layak, selain menstabilkan harga pasaran bahan api.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pada fasa awal ini pengguna yang layak di Semenanjung boleh membuat transaksi pada kadar RM2.15 seliter.
“Pelaksanaan ini adalah sebahagian daripada pendekatan berfasa kerajaan bagi memastikan penyasaran subsidi berjalan lancar tanpa menjejaskan pengguna yang benar-benar layak,” katanya.
Menurut beliau, apabila pelaksanaan penuh bermula 1 Julai nanti, warga Malaysia yang mempunyai lesen dan kenderaan diesel akan menikmati harga subsidi lebih rendah iaitu RM2.10 seliter.
Bagi kenderaan komersial di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 pula, harga ditetapkan pada RM2.15 seliter, manakala bukan warganegara serta pengguna industri akan dikenakan harga pam tanpa subsidi.
Beliau turut memaklumkan orang ramai sudah boleh membuat semakan kelayakan serta permohonan tambahan melalui portal rasmi Budi Madani atau di kaunter Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terdekat.






