Pengguna TikTok Kini Boleh Kawal Kandungan Dalam Halaman For You Berdasarkan Minat

TechnologyDigital
11 Jun 2025 • 5:10 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

TikTok telah melancarkan beberapa ciri baharu untuk membolehkan pengguna mengawal kandungan yang dipaparkan dalam suapan ‘For You’ (FYF) mereka bagi memberikan kawalan yang lebih baik terhadap kandungan yang dilihat.

image is not available

Salah satu ciri utama Manage Topics yang membolehkan pengguna mengawal kekerapan kemunculan lebih daripada sepuluh topik popular termasuk pelancongan dan hiburan dalam suapan mereka. Tetapan ini bagaimanapun tidak menghapuskan sesuatu topik sepenuhnya tetapi ia mempengaruhi kekerapan kandungan yang dicadangkan berdasarkan perubahan minat pengguna dari semasa ke semasa.

Untuk menyesuaikan topik dalam suapan For You, pengguna boleh mengakses tetapan melalui Setting and Privacy kemudian memilih Content Prefenrence > Manage Topics. Mereka boleh melaraskan tahap kekerapan setiap topik dengan slider sebelum menekan butang Save bagi menyimpan perubahan.

image is not available

Selain itu, TikTok memperkenalkan Smart Keyword Filters iaitu sebuah ciri berasaskan teknologi AI yang membantu pengguna menyekat kandungan berdasarkan kata kunci serta sinonimnya. Dengan ciri ini, pengguna dapat menapis lebih banyak pilihan kandungan sekaligus memberikan kawalan yang lebih tepat terhadap paparan kandungan.

Ciri ini akan memaparkan senarai kata kunci yang sedang disekat dengan pilihan bagi pengguna untuk menyertakan atau mengecualikan kata tertentu mengikut keperluan mereka. Dalam beberapa bulan akan datang, TikTok merancang untuk meningkatkan had kata kunci yang boleh ditapis kepada 200 berbanding had sebelumnya.

image is not available

TikTok turut melancarkan panduan pendidikan yang menawarkan pelbagai tip dan alatan untuk bantu pengguna memahami cara halaman For You berfungsi serta menyesuaikannya dengan lebih berkesan. Semua pengguna, termasuk akaun remaja dan dewasa kini boleh mengakses kemas kini ini bagi memastikan pengalaman TikTok yang lebih selamat.