DRB-Hicom berdepan prospek suram selepas keuntungan susut 47% bagi 2QFY26 - PublicInvest

LocalBusiness & Finance
19 Aug 2026 • 10:40 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

DRB-Hicom berdepan prospek suram selepas keuntungan susut 47% bagi 2QFY26 - PublicInvest Image from: DRB-Hicom berdepan prospek suram selepas keuntungan susut 47% bagi 2QFY26 - PublicInvest amree19/08/2026 - 10:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 OgosDRB-Hicom Berhad berdepan prospek yang agak suram susulan tekanan kos, kelemahan beberapa segmen perniagaan serta ketidaktentuan industri automotif Malaysia.

 

Public Investment Bank (PublicInvest) berkata, keuntungan bersih kumpulan jatuh 47.4% tahun ke tahun (YoY) kepada RM30.6 juta bagi 2QFY26, akibat kos lebih tinggi dan perubahan ketara percukaian.

 

Prestasi itu namun masih sejajar dengan jangkaan dengan keuntungan bersih teras terkumpul enam bulan FY26 (6MFY26) sebanyak RM90.9 juta mewakili 46.1% daripada unjuran keuntungan setahun.

 

 

 

 

 

 

"Susulan keputusan itu, kami mengekalkan semua unjuran hasil dan saranan 'underperform' terhadap DRB-Hicom, dengan harga sasaran (TP) 84 sen berasaskan jumlah nilai bahagian (SOP)," katanya.

 

Dari segi operasi jelas PublicInvest, pendapatan 2QFY26 meningkat 33.1% YoY kepada RM5.5 bilion, disumbangkan terutamanya menerusi segmen mobiliti yang melonjak 45.6% YoY kepada RM4.4 bilion.

 

Peningkatan itu didorong pertumbuhan jualan Proton sebanyak 39.5% kepada 49,570 unit dan sumbangan hasil segmen aeroangkasa susulan pengambilalihan CTRM AeroSystems Sdn Bhd pada Disember 2025.

 

DRB-Hicom_DagangNews2026

 

Pertumbuhan itu namun sebahagiannya diimbangi penurunan jualan kenderaan jenama lain sebanyak 4.2% YoY, menunjukkan cabaran yang masih dihadapi DRB-Hicom di luar daripada segmen kenderaan nasional.

 

"Keuntungan sebelum cukai (PBT) naik 20.2% YoY kepada RM148.1 juta, dipacu segmen mobiliti dan penyatuan CTRM AeroSystems, tetapi dijejaskan kelemahan beberapa segmen lain," kata PublicInvest.

 

Segmen perbankan mencatat penurunan PBT 49.9% kepada RM51.7 juta susulan peruntukan tinggi dan tekanan margin, manakala kerugian sebelum cukai segmen hartanah melebar kepada RM10.6 juta.

 

 

 

 

 

Dalam perkembangan positif, hasil segmen perbankan meningkat 7.7% kepada RM599.5 juta, disokong pertumbuhan pembiayaan susulan peningkatan pangkalan pelanggan. Segmen pos pula mencatat pertumbuhan hasil 8.7% kepada RM471.3 juta, didorong jumlah bungkusan lebih tinggi serta pertumbuhan aktiviti kargo dan pengendalian darat berikutan peningkatan kekerapan penerbangan.

 

Menurut PublicInvest, prospek sektor automotif Malaysia pada 2026 dijangka kekal bercampur. Jumlah keseluruhan industri (TIV) berpotensi disokong permintaan segmen pasaran besar-besaran, subsidi bahan api yang diperluas dan pelancaran model baharu, tetapi tamatnya insentif cukai bagi EV CBU, kemungkinan pengurangan subsidi bahan api, tekanan inflasi serta ketidaktentuan geopolitik boleh menjejaskan sentimen pengguna.

 

Selain itu, kemasukan kenderaan China berharga kompetitif dijangka meningkatkan persaingan dan memberi tekanan terhadap keuntungan pengeluar serta pengedar. Dengan kekurangan pemangkin jangka pendek hingga sederhana, PublicInvest mengekalkan pandangan berhati-hati terhadap DRB-Hicom. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved